Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib ketuai jawatankuasa pengurangan defisit negara

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beliau akan mengetuai satu jawatankuasa bagi mengurangkan defisit negara menjelang tahun 2015.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut akan disertai menteri kewangan dengan sokongan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Jelas Najib, panel itu akan terus fokus untuk memenuhi sasaran fiskal jangka masa sederhana sebanyak tiga peratus daripada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) menjelang 2015 tanpa menganggu momentum pertumbuhan negara.

"Ini akan dicapai menerusi gabungan perbelanjaan produktif dan memperkukuhkan langkah memperbaiki pendapatan," katanya ketika berucap dalam Majlis Konsultasi Bajet 2014.

Jelasnya lagi, kerajaan kini terus berada di landasan tepat dalam mengurangkan defisit fiskal negara daripada 4.5 peratus daripada KDNK kepada 4 peratus tahun ini.

Secara umumnya, defisit fiskal yang merujuk kepada jumlah perbelanjaan yang melebihi pendapatan negara mampu dikurangkan menerusi langkah meningkatkan pendapatan negara serta pengurangan perbelanjaan kerajaan.

Kutipan cukai yang lebih berkesan membantu meningkatkan pendapatan negara sementara pembekuan pengambilan jawatan kerajaan dan pengurangan subsidi adalah antara strategi yang biasa digunakan untuk membantu perbelanjaan lebih berhemah oleh kerajaan.

Dalam ucapan sama Najib berkata belanjawan 2014 akan dirangka untuk memenuhi janji yang telah dibuat kerajaan kepada rakyat.

Beliau mengumumkan slogan "Mengotakan Janji, Merancak Transformasi" sebagai tema untuk siri perbincangan belanjawan 2014 yang akan berterusan sehingga beberapa bulan akan datang.

"Mari bekerjasama untuk memenuhi janji-janji kita kepada rakyat," kata Najib.

Menurutnya, kerajaan telah menerima 96 memorandum dari pelbagai pihak mencakupi entiti yang terlibat dalam isu sosial, merentasi sektor dan badan kaji selidik ekonomi peringkat makro.

Sesi perbincangan hari ini disertai penganalisa ekonomi, wakil Bank Dunia, wakil institut pendidikan tinggi  serta menteri kewangan dan pegawai-pegawai kewangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS