Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan didesak segera selesai isu kenaikan tambang bas
Diterbitkan:  Jun 18, 2013 4:49 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendesak kerajaan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan isu kenaikan tambang bas sebanyak 30 peratus memandangkan orang ramai sedang mencongak bajet untuk pulang berhari raya.

Sekalipun memandang serius isu kenaikan tambang itu yang dianggap "terlalu drastik dan membebankan" pengguna pengangkutan awam, Dewan itu mengakui terdapat asas pengusaha bas menuntut kenaikan harga tambang sejak Disember 2012.

"Kami mengakui terdapat asas yang kuat bagi pengusaha bas menuntut kenaikan harga tambang mengambil kira kos operasi yang telah meningkat saban tahun dan semakan terakhir tambang bas yang dilakukan pada tahun 2008.

"Sekalipun cadangan persatuan pengusaha bas dan kumpulan pengguna telah dibuat seawal Disember 2012 lagi, kerajaan terus membisu," kata Setiausaha DPPWP Nurul Islam Mohamed Yusoff sambil menambah penyelesaian menang-menang perlu untuk semua pihak.

Sehubungan itu, Nurul Islam berkata pihaknya mencadangkan strategi jangka masa pendek dan panjang sebagai penyelesaian kepada isu itu antaranya kerajaan disaran mengembalikan subsidi petrol/diesel RM0.30 khusus untuk sektor pengangkutan awam yang ditarik pada 2006.

Dalam kenyataannya hari ini, Nurul Islam berkata subsidi juga wajar diperkenalkan untuk tayar dan tol - seperti subsidi tayar untuk pengusaha teksi yang diperkenalkan tahun lalu - bagi tempoh musim perayaan ini.

"Cukai import alat ganti kenderaan pula mesti dikurangkan bagi menurunkan harga kos peralatan dan casis bas. Subsidi dan pemotongan cukai ini dilihat boleh mengurangkan tekanan kos kepada pengusaha bas lalu membolehkan struktur kenaikan tambang yang lebih moderan," katanya.

Nurul Islam turut menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) meneliti semula sama ada kenaikan tambang bas melalui inisiatif Liberalisasi Kadar tambang Perkhidmatan Bas Ekspres 2008 setara dengan peningkatan kualiti perkhidmatan yang diberikan pengusaha.

"FOMCA antara lainnya, telah membuat kajian kepenggunaan pada 2010 yang telah menggariskan permasalahan kualiti dan sepatutnya boleh dijadikan sebagai salah satu input penting kepada penstrukturan semula sistem pengangkutan awam jalanraya di negara kita," katanya.

Sebelum ini Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dilapor akan mengkaji sama ada membenarkan pengusaha syarikat bas menaikkan tambang sebanyak 30 peratus sebelum Hari Raya Aidilfitri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS