Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IPU tak sihat di beberapa tempat di selatan pantai barat, pantai timur
Diterbitkan:  Jun 18, 2013 6:06 PM
Dikemaskini: Jun 19, 2013 2:51 AM

Beberapa kawasan di selatan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung masih mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat sehingga jam 11 pagi ini berikutan pencemaran jerebu merentasi sempadan.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya, status kualiti udara di kebanyakan kawasan di Pantai Barat Semenanjung pada hari ini telah bertambah baik.

Bacaan IPU dari 52 stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada jam 11 pagi 18 Jun 2013 mencatatkan 16 stesen berada pada tahap baik, 32 stesen berada pada tahap sederhana dan 4 stesen iaitu di Pasir Gudang, Johor (IPU 153), Larkin, Johor (IPU 125), Kota Tinggi, Johor (IPU 118) dan Kemaman, Terengganu (IPU 103) mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, negara kini sedang mengalami musim Monsun Barat Daya bermula pada bulan Jun 2013 dan dijangka berterusan sehingga bulan September 2013.

"Kebanyakan kawasan titik panas tertumpu di Sumatera Tengah, Indonesia. Peta Jerebu Serantau menunjukkan pergerakan asap jerebu dari kawasan-kawasan kebakaran dan tiupan angin dari arah barat daya membawa pencemaran ke kawasan Pantai Barat dan terus merentasi ke kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Maklumat daripada ASMC juga menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Sumatera Tengah, Indonesia hingga ke selatan Pantai Barat Semenanjung," tambahnya.

Berikutan cuaca panas dan kering yang sedang dialami Negara, kementerian menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka.

"Mereka yang sabit kesalahan melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan," tambahnya.

Kementerian itu juga meminta kerjasama orang ramai untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

"JAS akan terus mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara mengikut tindakan yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri.

"JAS juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS