Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NC: UiTM sokong Umno, BN demi bumiputera
Diterbitkan:  Jun 20, 2013 2:23 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Tan Sri Dr Sahol Hamid secara terbuka mengakui institusi pendidikan yang dipimpinnya menyokong BN dan Umno.

Dalam satu wawancara disiarkan Utusan Malaysia hari ini, beliau berkata hanya parti pemerintah itu dapat menjamin masa depan bumiputera dalam negara ini.

"UiTM menyokong kerajaan BN dan Umno sebab hanya BN dapat menentukan masa depan dan kedudukan orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau diwawancara akhbar itu untuk mendapatkan maklum balasnya berhubung kenyataan NGO hak asasi Suaram yang berpendapat UiTM melanggar Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Perkauman.

Sahol mempertahankan UiTM yang dianggap membantu mengelakkan orang Melayu daripada menjadi hamba di tanah sendiri.

"Cuba bayangkan kalau UiTM ini tidak wujud. Mungkin ramai orang Melayu dan bumiputera jadi golongan miskin dan tidak berdaya. Mungkin selama-lamanya orang Melayu menjadi hamba di tanah air sendiri," katanya lagi.

Tanpa kewujudan UiTM juga, akhbar sama melaporkan, pelajar Melayu yang mahu ke Universiti Tunku Abdul Rahman yang 99.9 peratus pelajarnya adalah Cina, akan berhadapan kesukaran kerana faktor halal dan haram pemakanan.  

"Tutup UiTM bermakna hanya UTAR yang matlamatnya membangunkan profesional Cina akan wujud dan sama juga dengan kolej di Sungai Petani yang dimiliki MIC.

"Jadi kenapa nak persoal UiTM, bukankah mereka juga rasis?" katanya.

ADS