Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menzahirkan rasa terkilan dan dukacita dengan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya di dalam kes Victoria Jayaseele Martin lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 21 Jun lepas yang memutuskan MAIWP bertindak di luar batas undang-undang ketika enggan memproses permohonan Victoria untuk beramal sebagai peguam syarie.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Seri Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Othman Khairuddin dan Datuk Aziah Ali memutuskan Kaedah 10 Kaedah- Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 yang memberikan mandat hanya orang Islam sahaja boleh diterima sebagai Peguam Syarie bertentangan dengan Seksyen 59(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, yang hanya menetapkan mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan mencukupi dalam hukum syarak boleh diterima sebagai peguam syarie.

PPMM mengakui secara tersuratnya seksyen 59(1) Akta tersebut tidak mengkhususkan hanya orang Islam sahaja yang boleh memohon menjadi peguam syarie namun secara tersiratnya falsafah dan objektif akta tersebut bagi meningkatkan dan mempertahan undang-undang Islam perlulah diambil kira di dalam memutuskan kes tersebut.

Penghakiman tersebut juga mungkin boleh membuka ruang ( floodgate ) kepada permasalahan lain kerana di dalam banyak seksyen-seksyen lain memang tidak disebut secara nyata mestilah dilantik di kalangan orang Islam umpamanya:

a) seksyen 32 -pelantikan mufti dan timbalan mufti

b) seksyen 37- pelantikan jawatankuasa perundangan hukum syarak

c) seksyen 41- pelantikan ketua hakim syarie

d) seksyen 42- pelantikan hakim mahkamah rayuan syariah

e) seksyen 43 - pelantikan hakim mahkamah tinggi syariah

f) seksyen 44 - pelantikan hakim mahkamah rendah syariah

g) seksyen45- pelantikan pendaftar mahkamah syariah

h)seksyen 76 - pelantikan pegawai masjid, dan

i) seksyen 96 - pelantikan jawatankuasa pengawasan pengajian agama

Di dalam kesemua seksyen tersebut tidak dinyatakan secara khusus syarat Islam. Oleh itu persoalan kini timbul apakah MAIWP tidak boleh membuat kaedah-kaedah yang menghadkan pelantikan jawatan-jawatan di atas kepada orang Islam sahaja?

Adakah pada suatu masa nanti akan timbul permohonan orang bukan Islam untuk memenuhi jawatan-jawatan di atas? Hal yang sedemikian adalah amat meruncing jika berlaku dan suatu tindakan perlu dilakukan bagi mengelak perkara yang sedemikian berlaku.

PPMM berpandangan bahawa sesuatu undang-undang itu perlulah dilihat secara keseluruhan apatah lagi mengambil kira objektif dan falsafahnya dan tidak hanya ditafsirkan secara harfiah sahaja.

Oleh itu, hanya orang Islam sahaja yang layak dan sesuai menjadi peguam syarie di mahkamah-mahkamah syariah dalam konteks Malaysia. Pembacaan undang-undang secara tersirat ini juga sudah banyak diputuskan di dalam penghakiman mahkamah termasuklah dalam kes Mahkamah Persekutuan iaitu Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Tambahan pula sebagaimana yang kita ketahui bidang kuasa mahkamah syariah di seluruh Malaysia hanya terpakai kepada orang beragama Islam sahaja.

Oleh hal yang demikian PPMM mendapati adalah suatu yang sukar kelak sekiranya seorang peguam syarie bukan Islam hendak diambil tindakan jika membuat sesuatu perbuatan yang berlanggaran dengan etika peguam syarie ataupun tindakan menghina mahkamah syariah.

Peguam syarie tidak beragama Islam mungkin akan terlepas dari sebarang tindakan.

PPMM tidak mendapati sebarang kekhilafan yang dibuat oleh Hakim Datuk Rohana Yusof (pada ketika itu hakim Mahkamah Tinggi) semasa memutuskan MAIWP boleh mengenakan syarat sebelum menerima masuk peguam syarie dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Penghakiman YA Datuk Rohana jelas mengambil kira falsafah dan objektif Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 dan menjurus kepada kelicinan perjalanan sistem kehakiman dan perundangan di mahkamah syariah.

Walau apa pun PPMM meminta umat Islam di Malaysia amnya dan peguam syarie khususnya menghormati keputusan mahkamah tersebut.

PPMM dimaklumkan bahawa perintah tersebut juga telah digantung oleh mahkamah yang sama dan MAIWP akan memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan dalam tempoh yang ditentukan.


DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia.

ADS