Aktivis berbaring depan Parlimen, 32 sah ditahan

Sekumpulan kira-kira 50 orang aktivis yang disuraikan dari tapak perkhemahan mereka di Padang Merbok pagi ini mengadakan perhimpunan di satu kawasan di jalan utama yang menuju bangunan Parlimen.

NONEKumpulan berkenaan, disertai kira-kira 150 orang lagi yang mengadakan protes dengan berbaring di atas jalan berkenaan sejak jam 10 pagi ini.

Keadaan bertukar tegang kira-kira sejam kemudian apabila kumpulan tersebut, yang antara lainnya dipimpin aktivis siswa Adam Adli, cuba melepasi sekatan polis yang berkawal di kedudukan kira-kira 800 meter dari pintu pagar Parlimen.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun tidak berjaya melepasi sekatan polis, yang berkawal di Jalan Parlimen dengan kekuatan kira-kira 300 orang anggota.

Polis turut menahan seorang dari aktivis berkenaan, aktivis siswa Mohd Safwan Anang, dalam kejadian pada kira-kira 11.10 pagi itu.

NONESusulan itu, sebilangan lagi peserta perhimunan bertindak menyerah diri kepada polis sebagai tanda solidariti, termasuk pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin dan aktivis siswa Adam Adli.

Seorang MP Pakatan Khalid Samad turut muncul pada kira-kira jam 11.50 untuk menenangkan peserta perhimpunan dan untuk menerima memorandum kumpulan terbabit.

Dalam ucapannya, MP Shah Alam itu berkata beliau akan menyerahkan memorandum tersebut kepada pihak berkenaan dan akan turut membangkitkan perkara itu dalam persidangan Dewan Rakyat.

NONEBeliau turut meminta agar peserta berkenaan agar bersurai selepas menerima memorandum terbabit.

Sementara itu, seorang aktivis NGO Asalkan Bukan Umno, Haris Ibrahim pula berkata beliau difahamkan bahawa individu yang ditahan akan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi dan seterusnya ke lokap berpusat Jinjang.

Katanya, sebahagian dari anggota kumpulan berkenaan, yang bersurai pada kira-kira jam 12.20 petang, akan berhimpun semula di Padang Merbok untuk satu taklimat pada petang ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dalam satu kenyataan petang ini berkata, Seramai 32 orang ditahan dalam perhimpunan tersebut.

Seramai 29 lelaki dan tiga orang wanita yang ditahan itu termasuk Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin dan aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.