Isu akaun: Anwar mahu rujuk MP ke JK Parlimen

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan merujuk seorang MP BN, yang mendakwa beliau memiliki wang ratusan juta ringgit di akaun bank luar negara, ke jawatankuasa hak dan keistimewaan parlimen atas dakwaan menyalahgunakan kekebalan berhujah di Parlimen.

Menurutnya, dakwaan yang dihamburkan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) itu tidak pernah dilaporkan laman WikiLeaks seperti yang didakwa.

Berucap di Parlimen pagi tadi, Anwar turut mencabar Liang sekali lagi untuk bangkit menjelaskan dakwaannya semalam.

"Tidak ada sama sekali rujukan dalam WikiLeaks.

"Jadi demikian tentunya ada hak bagi Yang Berhormat (Simpang Renggam) bangkit supaya ada penjelasan.

"Kalau tidak, beliau boleh ulang di luar (Parlimen), supaya saya boleh saman.

"Masa dia berucap, (dia) tak berani bagi pencelahan, yang (dia) berani (hanya) menjerit dari bawah.

"Saya bagi ruang, kalau dia nak bangun, sila bangun," cabar Anwar di Dewan Rakyat.

Liang bagaimanapun terus berdiam diri apabila diberi peluang tersebut.

Anwar seterusnya berkata, Liang mengambil risiko dengan memetik laman pembocor rahsia WikiLeaks untuk berhujah di parlimen.

Ini kerana, laman berkenaan sebelum ini menerbitkan andaian bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya, dakwa Anwar.

"WikiLeaks mengandaikan Pekan (Datuk Seri Najib Razak) terlibat dalam pembunuhan Altantuya.

"Yang Berhormat Simpang Renggam harus ingat, yang melibatkan YB Pekan itu melibatkan WikiLeaks (juga), yang melibatkan akaun di Israel yang mengaitkan saya tidak disebut WikiLeaks," katanya.

Seterusnya, bercakap kepada wartawan di luar Parlimen kemudian, Anwar turut mengancam untuk mengemukakan saman ke atas penerbitan yang menyiarkan dakwaan Liang tanpa menyiarkan jawapan balasnya hari ini.

Laporan Bernama semalam menyebut, Liang mendakwa Anwar memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara termasuk Israel dengan jumlah simpanan kira-kira RM332 juta.

Liang mendakwa beliau mendapat maklumat itu daripada laman web Wikileaks.

Katanya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu dikatakan mempunyai 20 akaun bank dengan jumlah simpanan kira-kira AS$66 juta (RM209 juta) dan SGD$49 juta (RM123 juta) di bank di Amerika Syarikat, China, Singapura dan Israel, laporan agensi berita tersebut.

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.