KP nafi arah penjawat awam 'sukainya' di Facebook

Ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menafikan bahawa beliau mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan penjawat awam “menyukai” lamannya di Facebook.

Beliau yang terkejut dengan perkara itu turut menuntut agar pengarah jabatan kesihatan Pahang Dr Norhizan Ismail memohon maaf.

NONESatu surat didakwa sebagai pekeliling dari jabatan kesihatan negeri Pahang itu, yang mengarahkan laman Facebook ketua pengarah kesihatan itu muncul di laman sosial berkenaan dan menerima kritikan dari pengguna Internet.

Pekeliling bertarikh 20 Jun itu antara lainnya memetik kenyataan ketua setiausaha negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang menggesa penjawat awam menggunakan media sosial untuk menyebar maklumat.

Noor Hisham dalam kenyataan di Facebook pada malam tadi berkata beliau tidak pernah mengarahkan sesiapapun untuk mengeluarkan pekeliling seperti itu.

Katanya, perkara itu timbul kerana pengarah kesihatan negeri itu tidak membuat tafsiran yang betul ke atas nasihat Ali Hamsa dan juga arahannya untuk berinteraksi dalam Facebook.

“Pengarah negeri ini bertindak melampau dan berlebih-lebih dengan mengeluarkan surat yang ditandatanganinya tanpa kelulusan pengurusan tertinggi,” kata Noor Hisham.

Katanya, Norhizan perlu meminta maaf kepada ketua pengarah, kementerian dan juga kepada kerajaan.

“Ini adalah pemikiran sesetengah pengarah yang mengeluarkan kenyataan dan surat tanpa memikirkan natijahnya,” katanya.

Norhizan kemudiannya dalam satu kenyataan petang ini memohon maaf atas pekeliling berkenaan, yang diakuinya dikeluarkan tanpa persetujuan Noor Hisham.

"Saya sedar niat ikhlas saya untuk menghubungkan kakitangan saya dengan laman peminat Ketua Pengarah Kesihatan, telah disalah tafsir dan mencetuskan rasa malu canggung terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan pihak-pihak lain. 

"Saya dengan ini memohon maaf setulus hati," katanya dalam menerusi laman Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.