PRU13: DAP dakwa majoriti Melayu tolak BN

MP Raub Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz mendakwa majoriti pengundi Melayu pengundi yang keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lalu menolak BN.

Berucap ketika membahas titah Yang di-Pertuan Agong petang ini, beliau mendakwa seramai 7.3 juta daripada 11.23 juta pengundi merupakan pengundi Melayu.

"Umno dan BN mendapat 3.4 juta pengundi Melayu, manakala 3.9 juta lagi menolak BN. Umno sendiri secara keseluruhan mendapat 3.2 juta undi, yakni sama dengan jumlah ahli Umno.

"Maka yang menjerit Melayu itu dan ini, menjerit atas autoriti apa? Majoriti Melayu tidak bersama kamu," dakwanya.

Sungguhpun begitu, Mohd Arif tetap mengakui bahawa DAP masih perlu meningkatkan keyakinan bukan Melayu untuk menang dalam pilihan raya.

"Sebaik sahaja peratusan penduduk bukan Melayu menurun, peluang kita menang pun turun. Pengajarannya ialah, kita hanya akan menang dan berjaya jika kita berjaya meningkatkan keyakinan di kalangan orang Melayu.

"Kita dalam DAP tidak mahu berkelahi dengan Melayu. Kita mahu ramai lagi Melayu masuk DAP. Kita bukan musuh Melayu, bukan musuh Raja Melayu dan bukan musuh perlembangaan," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.