Nik Abduh: Jangan tunduk pada kebebasan agama

Wakil PAS hari ini menggesa kerajaan agar tidak sesekali tunduk kepada tekanan badan-badan hak asasi manusia terutama dari luar khususnya berhubung pelaksanaan hak menukar agama di kalangan penganut Islam dan kebebasan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir Mas) berkata beliau difahamkan daripada sumber tidak rasmi bahawa kerajaan menerima tekanan daripada pelobi-pelobi luar negara yang menuntut pelaksanaan hak asasi manusia yang nyata bertentangan dengan Islam.

"Tuntutan-tuntutan tersebut adalah seperti hak bertukar, berpindah agama atau murtad, dan amalan-amalan yang tegas dilarang agama seperti LGBT.

"Saya nak ingatkan supaya umat Islam dan masyarakat negara ini menuntut kerajaan jangan tunduk kepada tuntutan ini demi melihat Islam sebagai agama Persekutuan tidak tercemar," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Nik Mohamed Abduh menarik perhatian dewan dengan meminta kerajaan mengambil perhatian terhadap isu berkenaan dan menyatakan pembangkang akan menyokong hak asasi manusia di negara ini dilaksanakan berteraskan ajaran Islam yang menjadi agama Persekutuan.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan memperkasa dasar belia negara dengan menyuntik lebih elemen keislaman untuk melahirkan belia Muslim yang lebih dekat dengan ajaran Islam.

"Kita lihat belia Muslim yang tersasar dengan isu dadah dan pelbagai masalah sosial, diharap kerajaan 'mengislamkan dasar belia negara' yang boleh menjauhi belia Muslim kita dari gejala-gejala ini.     

"Pembangkang bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi mencapai tujuan ini," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.