Generasi ke-2 felda perlu jadi warga global

Datuk Seri Najib Tun Razak berharap peneroka generasi kedua Felda akan menjadi warga global dengan menceburi dunia luar yang lebih menarik.

Perdana Menteri berkata mereka perlu beralih daripada peneroka generasi pertama yang ketika itu memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal tanah penempatan dan lebih berasaskan domestik kepada masyarakat global.

NONE"Generasi baharu perlu lebih terlibat dalam pembangunan baharu dan mempunyai fikiran terbuka untuk meneroka dunia luar," katanya pada pertemuan dengan 130 pelajar tajaan Felda di London pada Rabu.

Kesemua pelajar tersebut mengikuti kursus selama tiga bulan di Pusat Pemerkasaan Generasi Felda Global-Lim Kok Wing di Universiti Lim Kok Wing di London.

Mereka ada kumpulan kedua anak peneroka Felda dihantar untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa di universiti berkenaan.

Pelajar berkenaan tiba di London April lepas untuk menghadiri program itu yang bertujuan membina modal insan melalui inovasi dalam pendidikan, kreativiti, keusahawanan serta mencorak minda global bagi menyokong inovasi Felda.

Pada majlis tersebut, Najib diberi sambutan meriah dengan sepanduk tertera 'We Love PM' dan laungan 'Hidup PM' oleh pelajar berkenaan dan beliau menyertai pelajar dalam nyanyian lagu 'iM4U'.

Perdana Menteri juga melahirkan kegembiraan untuk melihat transformasi beberapa pelajar daripada insan pemalu dan kurang keyakinan diri dan terhad penguasaan bahasa Inggeris kepada insan baharu yang bakal menjadi pemimpin masa depan negara.

Beliau berkata kerajaan mempunyai cita-cita, impian dan matlamat dan menyedari mereka bahawa kerajaan memerlukan orang yang boleh membantu menggerakkan transformasi nasional.

"Bagaimanapun, perubahan bukan sahaja melibatkan mengubah pemikiran rakyat tetapi juga kepimpinan yang mempunyai visi dan program agenda yang jelas," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.