DBP mahu juruaudit bahasa di semua kementerian

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mencadangkan agar semua kementerian dan jabatan kerajaan melantik juruaudit bahasa bagi memantau penggunaan bahasa Melayu dalam setiap urusan.

Ketua Pengarah DBP Datuk Dr. Awang Sariyan (berbaju hijau) ketika mengemukakan cadangan itu berkata, kajian oleh DBP menunjukkan terdapat kementerian yang menggunakan bahasa Melayu hanya 17 peratus dalam urusan harian termasuk mesyuarat.

Katanya sudah sampai masanya penguatkuasaan mengenai pematuhan penggunaan bahasa Melayu di jabatan kerajaan ditingkatkan.

NONE"DBP menyarankan semua kementerian dan jabatan kerajaan memiliki juruaudit bahasa mereka sendiri yang berperanan memantau tahap penggunaan bahasa Melayu dalam urusan harian.

"Pihak kita sedia melatih kakitangan kementerian dan jabatan terbabit sebagai pegawai bahasa bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana Perpaduan Ummah anjuran DBP, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) di Butterworth semalam.

Majlis itu dirasmikan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Awang berkata buat permulaan pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi melaksanakan audit bahasa terhadap papan iklan luar selain mewujudkan penarafan bintang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Untuk fasa satu, terdapat 18 PBT yang melaksanakan sistem penarafan bintang ini dan akan dipertingkatkan pada masa hadapan dan selain itu pindaan Akta DBP 1959 juga akan disegerakan bagi memberi lebih kuasa kepada DBP untuk menguatkuasakan pemantauan dan tindakan terhadap pihak yang menggunakan 'bahasa rojak'," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.