Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pilihan raya Kuala Besut 24 Julai
Diterbitkan:  Jul 5, 2013 12:17 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Pilihan raya kecil Kuala Besut ditetapkan pada pada 24 Julai manakala penamaan calon pada 12 Julai - kedua-duanya pada bulan Ramadan.

Penamaan calon itu jatuh pada Jumaat dan dan pengundian pada Rabu. Masa berkempen ditetapkan selama 12 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan perkara itu dalam mesyuarat khas hari ini di ibu pejabatnya di Putrajaya.

NONE SPR menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi DUN N1 Kuala Besut daripada Yang Dipertua DUN Terengganu pada 27 Jun lepas.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong apabila penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lepas, A Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 apabila mengalahkan calon muslimah PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Kedua-dua BN dan PAS masih belum menamakan calon masing-masing.

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Aziz ketika mengumumkan tarikh-tarikh itu, berkata daftar pemilih yang akan digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2011 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku pertama, kedua, ketiga dan keempat tahun 2012 dan DPT suku pertama tahun 2013.

"Sembilan pusat mengundi akan dibuka, satu untuk pusat mengundi awal dan lapan bagi pengundian biasa," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai pilihan raya kecil DUN Kuala Besut di Putrajaya hari ini.

NONE Abdul Aziz berkata daftar pemilih itu mengandungi 17,683 pemilih berdaftar terdiri dari 16,534 pemilih biasa, 1,134 anggota tentera dan pasangan, 14 polis dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Beliau berkata bagi pengundian biasa lapan sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 35 saluran tempat mengundi.

"Bagi pengundian awal, Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak dengan dua saluran akan digunakan sebagai pusat mengundi. Seramai 305 petugas pilihan raya akan dilantik," katanya.

Beliau berkata anggaran kos perbelanjaan bagi menjalankan pilihan raya kecil itu ialah RM760,000.

Pada pilihan raya umum lepas Barisan Nasional (BN) Terengganu dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 daripada 32 kerusi dewan undangan negeri yang dipertandingkan.

NONE Abdul Aziz berkata bagi maksud permohonan undi pos, permohonan boleh dibuat mulai hari ini.

Tarikh tutup permohonan untuk warganegara Malaysia di luar negara ialah pada hari penamaan calon manakala bagi petugas pilihan raya dan petugas media ialah dua hari selepas penaman calon, katanya.

Beliau berkata pengundi dalam kawasan pilihan raya itu boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi di laman web SPR www.spr.gov.my atau menerusi SMS dengan menaip SPR jarak SEMAK jarak nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888, mulai 11 Julai.

Abdul Aziz berkata bagi memastikan pilihan raya kecil berjalan lancar, semua pihak diminta mematuhi arahan-arahan pihak polis termasuk semasa berkempen.

Ditanya mengenai sama ada boleh menggunakan masjid untuk berkempen, beliau berkata SPR tidak mempunyai kuasa kerana ia di bawah bidang kuasa negeri.

Satu pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya yang diketuai seorang pegawai penguatkuasa akan ditubuhkan bagi memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen, katanya.

 

ADS