Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemimpin Pakatan Rakyat Pulau Pinang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) negeri membuka semula fail siasatan berhubung dakwaan pembelian undi di Bayan Baru semasa Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, SPRM Pulau Pinang telah mengambil keputusan untuk memberhentikan penyiasatan kes tersebut kerana didapati tiada unsur jenayah yang diterima.

"Kita kesal dengan keputusan Pengarah SPRM untuk tutup siasatan kes "lucky bonus" iaitu membeli undi besar-besaran semasa pilihan raya yang lalu. Mereka mengatakan kes ini tiada ada unsur jenayah. Kita tak boleh terima.

"Kami menyeru SPRM membuka fail semula dan mencari bukti dengan lebih bersungguh-sungguh. Pemimpin Pakatan akan beri kerjasama sepenuhnya dengan mereka (SPRM).

Namun jika SPRM tidak akan membuka semula fail tersebut, beliau bersama pemimpin Pakatan Pulau Pinang akan membuat laporan semula kepada suruhanjaya itu, katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk M Samarajoo yang berkata, suruhanjaya itu tidak mengesan sebarang kesalahan dalam tujuh laporan berhubung politik wang semasa pilihan raya umum 5 Mei, seperti yang diadukan oleh calon Pakatan.

Laporan Utusan Malaysia hari ini yang memetik kenyataan Samarajoo menyebut, suruhanjaya itu telah merakam kenyataan dari beberapa orang saksi.

Namun, saksi berkenaan berkata mereka tidak mengetahui identiti individu yang memberikan wang kepada mereka semasa kempen pilihan raya tersebut.

“Jadi, kalau mereka tidak boleh membuktikan apa-apa kesalahan di bawah akta kita, ia agak sukar," kata Samarajoo seperti dipetik Utusan.

ADS