'Green YB' lantik 'mak nyah' jadi setiausaha politik

       

ADUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu hari ini mengumumkan pelantikan seorang 'mak nyah' sebagai setiausaha politiknya.

Dikenali sebagai Hazreen Shaik Daud, 33, dan lulusan diploma, sebelum ini bekerja dengan sebuah NGO - Persatuan Pembangunan Kesihatan Keluarga Pulau Pinang.

NONE Popular dengan panggilan 'Green YB' (kanan), Teh yang juga dikenali

sebagai pejuang isu-isu alam sekitar, sering mempersoalkan dasar kerajaan berkaitan pembangunan bangunan tinggi.

Teh berkata beliau membuat pilihan tersebut selepas jawatankuasa kerja mengenai isu-isu transeksual dipersetujui wakil BN dan Pakatan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lepas.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut, yang pertama dalam urustadbir Pulau Pinang, mendapat sokongan Pengerusi Pembangunan Masyarakat, Keluarga, Belia dan Sukan negeri, Chong Eng.

"Saya menawarkan satu platform untuk komuniti tersebut menyuarakan pandangan mereka dan berjuang untuk hak-hak mereka," kata Teh yang mengetuai jawatankuasa tersebut ketika dihubungi hari ini.

Teh yang membangkitkan tentang keperluan jawatankuasa tersebut dalam perbahasan usul terima kasih kepada ucapan yang dipertua negeri di DUN pada 4 Julai, berkata komuniti berkenaan berdepan dengan "banyak didiskriminasi".

Dalam sesi itu, Chong Eng berkata isu itu adalah "sensitif" dan komuniti tersebut berdepan dengan masalah dalam kehidupan seharian mereka seperti di bahagian mana untuk menempat mereka di hospital dan tandas mana yang hendak digunakan.

Ditanya sama ada beliau menjangka mendapat sebarang reaksi negatif ekoran pelantikan tersebut, Teh berkata ia "dijangka" dan beliau telahpun dikritik.

"Tetapi ia tidak teruk sangat. Ini merupakan pihak-pihak yang tidak dikenali, yang mengkritik saya melalui Facebook," katanya.

Teh berkata fungsi dan tanggungjawab setiausaha politiknya itu tidak hanya mengenai isu-isu transeksual sahaja.

Katanya, skop kerja Hazreen sangat luas dan termasuk politik, ekonomi, sosial, budaya, pendidikan, kesihatan, hak asasi manusia dan isu transeksual.

[Baca berita penuh]

Malaysiakini
terkini untuk anda