Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA, JATI mahu pejabat Vatican M'sia ditutup
Diterbitkan:  Jul 12, 2013 5:25 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Dua NGO Melayu yang lantang hari ini menggesa perdana menteri agar menutup pejabat wakil Vatican di Malaysia jika beliau tidak menarik balik kenyataannya tentang kalimah Allah dalam masa seminggu.

NGO Jalur Tiga (JATI) dan kumpulan pendesak Melayu PERKASA berpendapat, Ketua Biskop Joseph Marino tidak wajar menyokong pendirian gereja Katolik Malaysia dan usaha Persekutuan Kristian Malaysia dalam isu itu.

"NGO Islam Melayu seluruhnya meminta duta Vatican itu menarik balik kenyataan itu.

"Ini kerana ia dibuat seorang diplomat yang menyalahgunakan imuniti yang diberikannya dengan menyentuh hal-hal dalam negara kita, hal-hal yang fundamental dalam Perlembagaan, dan menyentuh hal yang majoriti rakyat Islam Malaysia tidak mahu kalimah Allah itu digunakan oleh orang Kristian dan dalam Bible bahasa Melayu.

"Kalau dia tak tarik dalam masa tujuh hari, kita akan adakan satu perwakilan untuk bertemu kerajaan bagi meminta perdana menteri melalui Wisma Putra untuk menutup pejabat Vatican City itu dan meminta duta yang baru dilantik sebulan setengah itu dibawa pulang ke Vatican City," kata Presiden JATI Datuk Dr Hassan Ali mewakili kedua-dua NGO.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui selepas sidang media bersama PERKASA di Kuala Lumpur petang ini.

Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pula ketika dihubungi Malaysiakini berkata, NGO pimpinannya menyokong dan berkongsi pendirian dengan Hassan dan JATI.

Marino semalam dilaporkan menyifatkan pendirian kumpulan Kristian di negara ini sebagai "logik dan boleh diterima" walaupun menyedari ia adalah urusan dalaman Malaysia.

ADS