Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zambry: Kempen terpekik, maki hamun tak perlu
Diterbitkan:  Jul 16, 2013 5:27 AM
Dikemaskini: 11:31 PM

Barisan Nasional (BN) Perak akan menggunakan pendekatan komunikasi berterusan dan mengenal pasti setiap pengundi di kawasan yang dikategorikan sebagai 'kurang sambutan' semasa pilihan raya umum ke-13 yang lalu untuk kempen pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut.

NONE "Kita hendak orang keluar mengundi. Jadi kalau tidak kenal, tentunya agak sukar untuk kita memberi penerangan tentang apa agenda BN," kata Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata dalam memberi sokongan terhadap kempen BN di PRK Kuala Besut, pendekatan berceramah secara agresif seperti maki hamun dan 'terpekik' adalah tidak perlu.

"Kita tidak akan mengadakan ceramah, tetapi lebih kepada bertanya khabar dan melawat pengundi," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan program bersama penduduk di sekitar Kampung Lampu dan Kampung Nangka di Kuala Besut malam tadi.

BN Perak ditugaskan mendekati pengundi di kedua-dua kampung itu.

PRK di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini melibatkan pertandingan antara calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, seorang jurutera dan anak tempatan dengan calon PAS, Azlan Jusoh, 48, seorang ahli perniagaan.

Kekosongan kerusi DUN Kuala Besut yang mempunyai 17,683 pengundi berlaku berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman dari BN pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

- Bernama

ADS