Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menjangkakan bahawa isu yang akan menggugat kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ialah penggunaan dakwat kekal dan bukannya keputusan pilihan raya kecil DUN Kuala Besut.

Katanya, masyarakat umum sendiri tahu bahawa keputusan pilihan raya kecil berkenaan tidak akan memberi kesan kepada kedudukan Najib.

"PM nak tergugat apa. Ini pertandingan DUN bukan parlimen...

"(Tetapi jika) SPR masih menggunakan dakwat yang sama dan masih tidak kekal, itu yang menyebabkan PM tergugat.

"Jadi saya harap, PM campur tangan, beli dakwat dua tiga botol... Setengah dozen bukan banyak pun (untuk percubaan)," katanya sambil ketawa kecil.

Husam yang juga ADUN Salor berkata demikian bagi mengulas kenyataan ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin yang menggesa pengundi muda di Kuala Besut supaya menyokong parti itu kerana kekalahan BN menurutnya akan menggugat kedudukan Najib yang juga pengerusi BN.

Khairy yang juga ketua Pemuda Umno berkata keadaan akan menjadi tidak menentu sekiranya PAS berjaya merampas kerusi berkenaan apabila kedua-dua parti menguasai jumlah kerusi yang sama banyak.

Husam juga membangkitkan perkara itu susulan demonstrasi yang dijalankan oleh SPR hari ini untuk menunjukkan mutu dakwat kekal yang akan digunakan dalam pilihan raya kecil tersebut pada 24 Julai.

Isu dakwat berkenaan menjadi tumpuan utama apabila dakwat yang digunakan semasa pilihan raya umum 5 Julai lalu didakwa dapat ditanggalkan dengan mudah.

ADS