Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'PAS tak bentuk k'jaan walaupun memang K Besut'

PAS tidak akan membentuk kerajaan baharu di Terengganu sekalipun jika menang dalam pilihan raya kecil di Kuala Besut yang akan menjadikan jumlah kerusi Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang 16:16 di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata kerajaan Terengganu di bawah pemerintahan BN masih boleh dikekalkan.

"Cumanya nanti mereka (BN) tidaklah boleh bertindak sesuka hati. Kami sebagai pengimbang mempunyai peranan yang konstruktif untuk mencadangkan pengurusan negeri yang berorientasikan kebaikan rakyat jelata Terengganu," katanya dalam sidang media di markas besar pilihan raya PAS di Kampung Baharu di Kuala Besut semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan usaha PAS mewujudkan pentadbiran kerajaan Terengganu yang tergantung menerusi kempen 16:16 tidak akan diterima rakyat dan tindakan populis bagi meraih perhatian pengundi Kuala Besut.

Selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lepas, Terengganu kekal ditadbir BN yang menang 17 kerusi, manakala baki 15 lagi diwakili pembangkang iaitu 14 daripada PAS dan satu wakil PKR.

Sementara itu, Husam yang juga pengarah pilihan raya kecil PAS untuk DUN Kuala Besut menyambut baik pendirian terbuka Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang menjelaskan mengenai isu pemberian tanah kepada empat wakil rakyat BN dalam kawasan Parlimen Besut.

Ahmad Said dalam jawapannya berkata sudah menjadi dasar Kerajaan BN Terengganu mengurniakan tanah kepada rakyat yang berhak dan berjasa, termasuklah ADUN sama ada lot tapak perumahan atau tanah pertanian.

PRK DUN Kuala Besut pada 24 Julai ini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Endot @ Azlan Yusof daripada PAS berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

- Bernama

ADS