Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP: Penjelasan menteri isu bakar Bible tak logik
Diterbitkan:  Jul 19, 2013 2:26 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng berkata, penjelasan ahli majlis tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan berhubung saranan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali untuk membakar kitab Bible dengan kalimah Allah merupakan kenyataan "mengejutkan, tidak logik dan tidak munasabah".

NONE Katanya seruan untuk membakar kitab suci sesuatu agama tidak sepatutnya dibuat oleh orang yang tidak menganut agama tersebut.

"Sepertimana orang bukan Islam tidak sepatutnya dibenarkan membakar kitab suci agama lain, Ibrahim Ali tidak patut dibenarkan membakar kitab Bible terutamanya apabila ia mahu dilakukan sebagai tanda protes terhadap agama Kristian," kata ketua menteri Pulau Pinang itu.

Menurut Lim, penjelasan Abdul Rahman semalam membentuk persepsi bahawa penghinaan ke atas agama lain, selain Islam, adalah dibenarkan.

"Dengan kegagalan untuk bertindak ke atas Ibrahim Ali, kita hanya boleh membuat kesimpulan bahawa penghinaan terhadap agama selain Islam adalah dibenarkan," katanya.

Jelasnya lagi, kesediaan Abdul Rahman menerima penjelasan Ibrahim Ali membuktikan beliau berkongsi citra bertentangan dengan 1Malaysia yang didukung Ibrahim.

NONE "Tindakan Abdul Rahman menyatakan bahawa ancaman Ibrahim Ali untuk membakar Bible sebagai sesuatu yang normal jelas memperlihatkan bahawa kedua-duanya berkongsi pemikiran yang anti-bukan Islam, dan secara jelas telah mengkuburkan konsep 1Malaysia Perdana Menteri," katanya lagi.

Beliau mengulas pendirian Abdul Rahman semalam, bahawa Ibrahim Ali menggesa demikian dengan anggapan bahawa kitab Bible yang mengandungi kalimah Allah adalah kitab yang disalah cetak.

Menurut Abdul Rahman, Ibrahim memberitahunya bahawa tindakan membakar Bible adalah cara terhormat untuk melupuskan kitab itu, seperti cara umat Islam melupuskan Al-Quran lapuk dan disalah cetak.

Abdul Rahman memberitahu demikian kepada Malaysiakini semalam, sewaktu diminta membandingkan mengenai tindakan yang dikenakan ke atas Ibrahim dan juga pendakwaan yang dijalankan ke atas pasangan blogger seks Alvin Tan dan Vivian Tan, yang didakwa di mahkamah semalam kerana mempersenda Islam.

NONE Menteri berkenaan diminta mengulas perkara itu memandangkan timbulnya pendangan yang mempersoalkan layanan berbeza yang dikenakan ke atas Ibrahim dan pasangan Alvin-Vivian, yang didakwa mempersenda Islam melalui bahan yang dimuatkan di Internet.

Sentimen itu antara lainnya dapat dilihat melalui komentar disiarkan Malaysiakini pada hari Rabu lalu menyebut banyak pihak termasuk pemimpin Kristian dan gereja menggesa agar Ibrahim turut dihadapkan ke mahkamah atas kenyataan tersebut.

“...Namun si batu api terus bermaharajalela untuk melakukan pembunuhan kaum secara lisan,” komentar tulisan editor kanan Malaysiakini , RK Anand itu dipetik.

Sementara itu, Lim dalam kenyataannya hari ini turut menggesa kerajaan agar bertindak terhadap calon BN Shah Alam, Datuk Zulkifli Noordin yang didakwa menghina agama Hindu dalam satu ucapan.

NONE "Jelas sekali BN mengamalkan ‘double standard’ serta pendakwaan terpilih dengan hanya menghukum kenyataan anti-Islam tetapi bukan kenyataan anti-bukan Islam," tegasnya.

Dalam ucapan kontroversi itu, didakwa dibuat 10 tahun lalu, Zulkifli kelihatan seperti menyampaikan ceramah agama di surau dan menceritakan perbualannya dengan seorang penjual berhala Hindu berhampiran di Kuala Lumpur yang kedainya baru dilanda banjir.

Perbualan itu antaranya memuatkan persoalan sekitar kenapa tuhan di kedai itu tidak menahan air daripada memasuki kedainya itu.

Zulkifli memohon maaf atas ucapan terbabit dan seterusnya terpilih sebagai calon BN untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 di kawasan parlimen Shah Alam.

Dalam pilihan raya 5 Mei itu, pemilih di kawasan tersebut mengekalkan Khalid Samad dari PAS untuk mewakili Shah Alam.

ADS