Tamarod: Kami akan bersihkan Mesir hari ini

Penyokong dan penentang presiden Mesir Mohamed Mursi yang digulingkan tentera menjangkakan kemungkinan berlakunya pertumpahan darah dan keganasan dalam tunjuk perasaan besar-besaran anjuran dua pihak bermusuh Ikhwanul Musliman dan tentera.

Bantahan pada Jumaat pada mulanya dilaungkan oleh Jeneral Abdel Fattah el-Sisi, yang mahu rakyat Mesir menunjukkan sokongan terhadap penggulingan Mursi, sekali gus menguatkan "mandat" tentera bagi menghentikan "keganasan".

Ikhwan sebagai tindak balas, mengajak penyokongnya turut memenuhi jalan raya bagi menentang rampasan kuasa tentera.

Konfrontasi kedua-dua pihak tidak dapat dielakkan lagi dan setakat ini mengorbankan 200 nyawa, kebanyakannya penyokong Mursi.

Tentera sudah memberi amaran untuk "mengacungkan senjata" kepada pihak yang menggunakan keganasan manakala Ikhwan memberi amaran perang saudara.

"...kami pasti bertindak keras terhadap sebarang gesaan ke arah keganasan daripada pemimpin Ikhawan atau penyokongnya," kata seorang pegawai tentera kepada Reuters.

Pada Khamis, kumpulan pro-Mursi berkhemah di Bandar Nasr dan kumpulan penentangnya di Dataran Tahrir.

"Esok (hari ini) kami akan bersihkan Mesir," kata jurucakap pergerakan anak muda Tamarod yang menggerakkan jutaan orang turun ke jalan raya membantah pentadbiran Mursi sebelum tentera bertindak pada 3 Julai.

"Ada orang bawa senapang di jalan," katanya kepada Reuters. "Kami tidak akan benarkan ekstrimis menjahamkan revolusi".

Tunjuk perasaan hari ini dijangka berlangsung selepas solat Asar. Saksi berkata, helikopter tentera sudah menggugurkan risalah di kawasan Ikhawan menuntut supaya tiada sebarang keganasan berlangsung.

- Agensi
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.