Wanita MIC sokong Palanivel tak dicabar

Wanita MIC Selangor semalam secara terbuka mengisytiharkan sokongannya terhadap hasrat Presiden parti itu Datuk Seri G.Palanivel untuk mengekalkan jawatan beliau pada pemilihan akan datang.

Ketua Wanita MIC Selangor A. Sivabagiam berkata semua pemimpin bahagian dan cawangan serta sayap Pemuda negeri, bersetuju bahawa Palanivel perlu dipilih sebagai presiden tanpa ditandingi.

"Kami hanya mempunyai dua menteri penuh mewakili masyarakat India iaitu Datuk Palanivel dan Datuk Subra (Datuk Seri S. Subramaniam), dan kami menyokong penuh Palanivel kerana beliau adalah Pengerusi MIC Negeri.

"Kami akan bekerjasama dan memberi sokongan penuh kepada presiden kami. Kami mahu Palanivel menang tanpa ditandingi, " katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat MIC di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata meskipun mereka tidak boleh menghalang mana-mana individu daripada bertanding jawatan itu, 22 bahagian dan 1,300 pemimpin cawangan di Selangor sudah memutuskan bahawa jawatan tertinggi itu tidak ditandingi.

Pencalonan bagi jawatan Presiden MIC ditetapkan pada 1 Sept manakala pemilihan dijadual pada 22 Sept, jika ada pertandingan.

Palanivel menjadi presiden parti selepas Datuk Seri S. Samy Vellu meletak jawatan pada Disember 2010.

Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, membayangkan bahawa beliau akan bertanding untuk mengekalkan jawatan itu bagi tempoh satu penggal selama tiga tahun.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.