Pemilik Facebook hina Kristian & Jesus dikesan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Ewon Ebin berkata, pemilik laman sosial Facebook yang menghina agama Kristian dan Jesus sudah dikesan.

Anggota Parlimen Ranau itu berkata, identiti pengendali itu dikesan setelah pihaknya mengambil maklumat penuh profilnya di Internet daripada Cyber Security, agensi pakar keselamatan siber kementerian.

NONEMenurut kenyataannya lewat malam tadi, siasatan juga mendapati, terdapat beberapa orang disyaki mengendalikan laman itu dan seorang daripadanya beralamat di Gombak, Selangor.

Ewon (kiri) berkata, laporan polis juga dibuat di Kota Kinabalu kelmarin ekoran artikel yang dimuat naik ke Facebook dikenali "Semenanjung Malaysia Anti Sabah & Sarawak" yang disifatkannya biadap, berbaur perkauman dan menyentuh sensitiviti agama.

Menurut Ewon, ia antaranya menyiarkan gambar Jesus yang digantung pada tiang elektrik, yang baginya cuba mencetuskan hubungan tidak baik antara masyarakat Sabah dan Sarawak dengan semenanjung.

Sementara itu, tinjauan Malaysiakini di laman itu mendapati ia menerima sebanyak 584 "like" setakat tengah hari tadi.

Ia dipenuhi dengan kata-kata cacian serta gelaran binatang terhadap masyarakat di Sabah dan Sarawak dan agama Kristian.

Selain memaparkan gambar Jesus digantung pada tiang elektrik, ia turut memuatkan gambar seekor katak dan monyet yang disalibkan.

Laman ini sudah tidak dapat ditemui apabila tinjauan dilakukan semula dua jam kemudiannya.

Kewujudkan laman itu mengundang kecaman hebat pengguna Facebook yang rata-rata tidak senang dengan pendekatannya, termasuk penganut agama lain, termasuk Islam.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.