Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew berkata dasar-dasar berasaskan kaum di Malaysia meletakkan negara itu dalam keadaan yang tidak menguntungkan.

NONE Dalam petikan buku terbaru dilancarkan bertajuk 'One Man's View of the World' di Istana di Singapura semalam, Lee ( kanan ) berkata:

"Ia adalah secara sukarela mengecutkan golongan berbakat yang diperlukan untuk membentuk masyarakat yang mengguna pakai bakat dari semua kaum.

"Mereka bersedia untuk kehilangan bakat besar bagi mengekalkan dominasi sebuah kaum.

"Sejak kebelakangan ini, kerajaan Malaysia telah agak bersedia untuk mengakui kehilangan golongan berbakat kepada bandar-bandar berwibawa di tempat lain dan sedang mencuba menarik pulang warga Malaysia berbakat dari luar negara.

"Tetapi realitinya, usaha-usaha ini mungkin terlalu sedikit...terlalu lewat," kata Lee yang merupakan bekas Menteri Mentor dalam bukunya, bab Asia Tenggara - 'Malaysia - A Different Path'.

Dalam bukunya itu, Lee berkata dalam dunia global, peningkatan kelebihan daya saing rakyat bergantung kepada kemahiran, daya pemikiran dan semangat juang yang mereka miliki.

"Malaysia sedang kehilangan punca dan memberikan negara lain peluang dan kelebihan persaingan dalam persekitaran bebas.

"Selepas Pilihan raya Umum 2008, ada perasaan mendalam di kalangan sesetengah pihak di Malaysia bahawa negara itu berada di ambang perubahan sebenar," katanya.

Beliau berkata pembangkang yang berkempen secara rasmi antara lain berjanji untuk menghapuskan beberapa dasar berasaskan kaum sehingga memberi kejutan kepada penyokong sendiri dengan pencapaiannya.

"Dari segi undi, ia adalah pencapaian terbaik pembangkang sejak 1969. Dari segi perolehan kerusi, ia merupakan keputusan paling terbaik dengan kerajaan dinafikan majoriti dua pertiga," kata pemimpin berusia 90 tahun pada September ini.

Setahun selepas pilihan raya, Lee dalam bukunya, berkata apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana menteri, beliau telah melancarkan kempen '1Malaysia' bagi memperkukuhkan keharmonian kaum dan perpaduan nasional.

Beliau berkata Najib membawa kempen 1Malaysia untuk memenangi semula undi kaum Cina dan India yang hilang dalam Pilihan Raya 2008.

Lee berkata adalah mustahil bagi Najib untuk menawan semula hati pengundi Cina dan India tanpa kehilangan penyokong teras dari partinya - kaum Melayu.

Beliau berkata slogan 1Malaysia tidak menepati keterujaan awal yang dicetuskan oleh kempen itu.

Dalam erti kata lain, rakyat berkongsi 1Malaysia tetapi komuniti tetap berbeza sebagai Melayu, Cina dan India. Ia masih kekal sama sekiranya kempen 1Malaysia boleh membawa kesamarataan untuk bukan bumiputera dalam apa-apa cara yang ketara, katanya.

Lee juga berkata mereka yang mengharapkan 1Malaysia untuk menyambut era baharu dalam hubungan antara kaum adalah tidak realistik manakala mereka yang menghitung pembangkang melakukannya pada satu hari nanti juga begitu sama.

Sebagai permulaan, beliau berkata pakatan pembangkang untuk berkuasa dalam masa terdekat merupakan sesuatu yang amat sukar.

Sekiranya ia berlaku, katanya peluang untuk menghapuskan hak istimewa orang Melayu tidak akan menjadi kerana pakatan pembangkang mencari peluang dan tidak mempunyai pendirian sama tetapi hanya mahu menyingkirkan kerajaan.

Buku setebal 400 halaman itu, terbitan Straits Times Press, unit penerbitan Singapore Press Holdings (SPH) Ltd, menyampaikan pandangan Lee mengenai masa depan kuasa-kuasa besar dan rantau-rantau di dunia.

- Bernama

ADS