Wisma Putra masih siasat nasib tebusan rakyat M'sia

Wisma Putra masih menyiasat bagi menentukan status kematian Tung Wei Fei yang  dilaporkan meninggal dunia semasa berada dalam tahanan lelaki bersenjata Filipina,  bersama sepupunya.
    
Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata pihak keselamatan Filipina sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas nasib Wei Fei, 34.
    
"Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia serta Polis Negara Filipina (PNP) mengenai perkara ini," menurut kenyataan itu.
    
Pada 13 November tahun lepas, Wei Fei bersama sepupunya Tung Wei Jie, 26 diculik lelaki bersenjata Filipina di rumah sarang burung di ladang milik keluarga di Lahad Datu, Sabah dan dilarikan ke Jolo, selatan Filipina.
    
Pada 6 Ogos lalu, Wei Jie berjaya melarikan diri daripada tahanan di kepulauan Wilayah Sulu dan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa Wei Fei telah meninggal dunia akibat penyakit, pada 8 April ketika berada dalam kurungan.
    
Wee Jie kini di bawah jagaan PNP untuk direkod keterangannya sebelum diserahkan kepada pegawai Kedutaan Malaysia di  Manila.
    
"Kedutaan Malaysia di Manila bekerjasama dengan PNP, Polis Diraja Malaysia dan keluarga Wei Jie untuk memastikan beliau selamat pulang ke Malaysia tidak lama lagi," menurut kenyataan itu.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.