Ramai mula kembali ke ibu kota

Bilangan kenderaan di lebuh raya menuju ke ibu negara, terutama dari arah utara dan selatan dijangka meningkat menjelang tengah hari ini berikutan ramai kembali semula ke ibu kota selepas pulang berhari raya di kampung masing-masing.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressway Berhad ketika dihubungi, berkata keadaan itu bagaimanapun dijangka tidak menyebabkan kesesakan melampau di Lebuhraya Utara-Selatan.  

"Setakat 9.45 pagi tadi, keadaan trafik dari arah yang sama juga masih terkawal biarpun sebelum itu terdapat kemalangan di beberapa tempat misalnya di Km 189.7 utara dari Jawi ke Bukit Beruntung, Rawang," katanya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik di seluruh Lembah Klang, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Pantai Baru (NPE) lancar setakat 9.30 pagi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.