Lapan penumpang cedera, bas ekspres terbalik

Sebuah bas ekspres yang membawa 40 penumpang dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah terbabas sebelum terbalik di Km 52.7 Lebuhraya Utara-Selatan hari ini.

Kejadian pukul 8.15 pagi itu menyebabkan lapan penumpang cedera, kata Ketua Cawangan Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Daerah Kluang ASP Azmi Suratman ketika dihubungi di Johor Bahru.

Menurutnya kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu berusia 40 tahun itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah kenderaan di hadapan yang berhenti secara tiba-tiba.

Bas terbabit kemudian terbabas dan menggelongsor sebelum terbalik sejauh 10 meter dari jalan, katanya.

Menurutnya penumpang yang cedera iaitu tiga rakyat tempatan, tiga warga Myanmar dan dua rakyat Thailand dibawa ke Hospital Kulaijaya untuk mendapat rawatan, manakala penumpang lain meneruskan perjalanan menaiki bas gantian.

Azmi berkata siasatan awal mendapati keadaan jalan agak licin ketika kejadian kerana hujan turun sejak awal pagi.

Menurutnya bas itu juga dipandu pemandu kedua yang menggantikan pemandu utama ketika berhenti rehat di Hentian Rehat dan Rawat Machap.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya memberitahu Bernama dua maut dan seorang cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok di Km 26 Jalan Johor Baharu-Ayer Hitam, Kulaijaya.

Kedua-dua yang maut adalah lelaki dikenali Wan Seng Thim, 41 yang juga pemandu dan penumpang hadapan Yap Kok Chin, 41, manakala penumpang wanita yang cedera dikenali sebagai Chai Nyet Chiew, katanya.

Kejadian berlaku jam 12.10 tengah malam semalam.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.