Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS kutuk rejim tentera Mesir, anjur munajat lusa
Diterbitkan:  Aug 15, 2013 10:47 AM
Dikemaskini: 3:39 AM

PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim tentera di Mesir yang bertindak kejam dan melakukan jenayah terhadap rakyatnya sendiri sehingga dilaporkan menyebabkan ratusan terkorban dan ribuan cedera parah.

"PAS menyeru kepada komuniti antarabangsa termasuklah Kerajaan Malaysia supaya melaksanakan langkah drastik terhadap rejim tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi yang merampas kuasa dari rakyat Mesir itu," tegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Pertama, semua pihak terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), OIC, Liga Arab mestilah mengecam tindakan kekerasan rejim tentera yang tidak sah itu dan seterusnya memberikan tekanan diplomatik terhadap mereka yang melaksanakan coup d'état terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Presiden Muhammad Morsi.

"Kedua, pihak yang melakukan jenayah dan bertindak kejam terhadap penyokong Presiden Morsi mestilah disiasat oleh satu Suruhanjaya Bebas Antarabangsa supaya tindakan mengikut tatacara undang-undang dapat dilakukan.

"Ketiga, kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada Presiden Morsi mestilah dikembalikan, manakala penyelesaian kepada krisis di Mesir perlu mengikut lunas demokrasi tanpa campurtangan asing dan pihak tentera," tegas Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini.

"PAS sekali lagi ingin mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa kegagalan menyelesaikan konflik di Mesir ini akan membawa akibat yang lebih buruk terhadap keamanan rantau Asia Barat kerana ianya akan melahirkan aktiviti tindakbalas yang lebih keras, di mana iklim politik, ekonomi dan keamanan dunia juga akan turut terjejas," tambahnya.

Sehubungan itu, tegasnya, PAS menyeru supaya semua penyokong dan ahli PAS, dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan ini supaya menunjukkan solidariti dengan turut sama menyertai Himpunan Munajat Perdana Sabtu ini.

Ia anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, bersama dengan parti-parti politik dan NGO di negara ini.

"Marilah kita terus bermunajat memohon kepada Allah SWT supaya kezaliman dihancurkan dan keamanan dikembalikan dalam konflik di Mesir ini," tambah Abdul Hadi.

Himpunan aman

Dewan Pemuda PAS juga akan mengadakan himpunan aman mengutuk kekejaman Kudeta Mesar selepas solat Jumaat, bertempat di negeri di seluruh negara.

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam kejadian tragedi berdarah medan Rabaah Al-Adawiya yang dilaporkan telah mengorbankan banyak nyawa.

"Sesungguhnya tragedi ini  merupakan kemuncak kepada episod malang yang melanda rakyat Mesir semenjak rampasan kuasa 4 Julai 2013 yang lalu," kata Presiden Abim, Amidi Abd Manan.

Katanya, Abim menilai rentetan peristiwa yang dihadapi rakyat Mesir semenjak rampasan kuasa tersebut sebagai bukti kegagalan pihak tentera kepimpinan Jeneral Al-Sisi untuk mewujudkan kestabilan sepertimana yang dilaung-laungkan sebelum ini.

"Ternyata rampasan kuasa tersebut hanyalah langkah lapuk dan terbelakang yang tidak menjamin kestabilan politik jangka panjang.

"Tragedi medan Rabaah Al-Adawiya ini dikhuatiri akan merebak menjadi konflik berdarah yang akan menjejaskan kestabilan serta keamanan di rantau Timur Tengah & Afrika Utara," katanya dalam satu kenyataan semalam.  

Menurut Amidi, sekiranya ini berterusan, ia adalah satu titik hitam dalam perkembangan politik umat Islam kontemporari yang berasaskan kepada kesedaran Karamah Insaniah.

"Tragedi ini merupakan penafian terhadap nurani Ummah yang mendambakan pembelaan menerusi lunas-lunas kemanusiaan yang ditetapkan.

"Seharusnya sebarang perbedaan pandangan serta kritikan ditangani menerusi hikmah yang dibuka menerusi saluran demokrasi," tegasnya

Justeru, tambahnya, Abim, menggesa ketegasan kerajaan Malaysia menyatakan pendirian tegas berhubung dengan tragedi sebagai bukti ketegasan dan keperihatinan umat Islam ke atas perkembangan semasa yang berlaku di Mesir.

"Seharusnya Malaysia meneladani ketegasan kerajaan Turki yang tampil selaku jurubicara Ummah di pentas antarabangsa," tambahnya.

ADS