Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah akan mendengar permohonan rayuan pada 18 September 2014 untuk membebaskan 33 orang aktivis dan siswa dari tuduhan berhubung kes perhimpunan dan kekacauan di depan bangunan Parlimen pada 24 Jun lalu.

Dalam sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Hakim Mat Ghani Abdullah juga membenarkan permohonan oleh peguam Latheefa Koya agar kesemua 33 individu berkenaan untuk tidak hadir pada hari pengurusan kes tersebut.

NONE Latheefa ( kanan ) berkata, beliau meminta supaya kesemua 33 aktivis dan siswa itu dikecualikan daripada hadir pada hari pengurusan kes kerana jumlahnya yang terlalu ramai.

"Peguam tidak ada masalah (dengan tarikh pengurusan kes). Tetapi saya minta OKT (orang kena tuduh) dikecualikan kerana terlalu ramai," kata Latheefa semasa rundingan untuk menetapkan tarikh tersebut di mahkamah.

Kumpulan berkenaan, termasuk pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin dan seorang warga emas Anne Ooi didakwa atas tuduhan berkenaan pada 29 Julai lalu.

Seramai 17 daripadanya juga didakwa atas tuduhan merusuh semasa perhimpunan tersebut, yang diadakan bagi mendesak agar pemimpin dan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya meletak jawatan.

Turut didakwa ialah pemimpin siswa Adam Adli Abdul Halim dan Mohd Safwan Anang.

Mereka menghadapi hukuman sehingga enam bulan penjara atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan atas kesalahan perhimpunan haram.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 147, mereka menghadapi hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabit kesalahan.

Individu lain yang turut didakwa ialah Ahmad Shauqie Abdul Aziz, Muhammad Al Fateh Abd Adzis, Ahmad Syukri Che Abd Razak, Mohammad Yaser Shaikh Abd Rahman, Muhammad Aiman Hakim Zainal Ariffin, Lim Sue Pei, Mah Chee Hoe dan Tong Chan Sang.

Turut didakwa, Abdullah Hassan, Muhammad Akram Ahmar, Muhammad Hafizuddin Yahya, Mohd Zairi Shafa’ai, Mohd Sofian Mat Dali, Mohd Mus Ab Abd Habib, Norazimah Mohamad Nor, Muhammad Aliff Hafiz Zainuddin, Ahmad Hizami Mohd Hazir, M Mythreyar, Lew Chee Kong, Ungku Amer Faez Ungku Fauzie, Hong Chee Wang dan Norazizi A Aziz.

Enam yang lain ialah Shariful Azmir Mustaf, Amirul Syazwan Narzaruddin Jamil, Edy Noor Reduan, Md Sani Shah, Wan Noor Faril Azli Wan Haron dan Mohd Fauzy Mohd Yusof.

ADS