Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengetepikan permohonan Ketua Biskop Roman Katolik Murphy Pakiam untuk membatalkan rayuan kerajaan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam bible disambut dengan laungan takbir oleh kira-kira 150 ahli NGO Islam yang berkumpul di perkarangan mahkamah sejak pagi tadi.

NONE Mereka turut berselawat dan menangis sebagai tanda syukur selepas mengetahui keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Abu Samah Nordin.

Dua lagi hakim ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusof.

Setiausaha Agung Persatuan Peribumi Perkasa (PERKASA) Syed Hassan Syed Ali berkata, beliau turut gembira dan bersyukur dengan keputusan hakim hari ini.

Beliau juga berharap agar kejayaan sama diperolehi 10 September nanti dan meminta semua umat Islam tanpa mengira fahaman politik untuk bersama memberikan sokongan.

NONE "Kita bersyukur dan berharap kemenangan sama pada 10 September nanti.

"PERKASA juga merayu agar semua umat Islam akan peka dengan perjalanan perbicaraan nanti dan mana-mana pihak hadir ke sana," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Bagi Presiden JATI Datuk Hassan Ali pula, beliau meminta agar umat Islam tidak terlalu gembira dengan keputusan hari ini.

Beliau berkata, keputusan rayuan kerajaan yang dibarisi oleh peguam-peguam muda pada 10 September akan datang akan memberi potensi terhadap perkembangan Islam pada masa akan datang.

"Ini adalah keputusan awal dan tidak perlu terlalu gembira. Saya harap 10 september nanti akan lebih ramai yang turun hadir untuk beri motivasi kepada para peguam. Barisan peguam-peguam muda ini mempunyai potensi yang sangat hebat terhadap perkembangan Islam di masa akan datang," katanya.

kalimah Allah appeal case Sebelum itu, kira-kira 150 orang yang terdiri daripada gabungan beberapa NGO Islam berkumpul di luar Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk menunggu keputusan rayuan permohonan ketua biskop itu untuk mengetepikan rayuan kerajaan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam bible.

Antara NGO yang hadir ialah Persatuan Peribumi Perkasa (PERKASA) dan Gabungan NGO Persatuan Pembela Muslim (PEMBELA).

Turur kelihatan di perkarangan mahkamah ialah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dari Nassar Foundation dan Naib Presiden PERKASA, Datuk Zulkifli Nordin yang berada di dalam mahkamah serta editor mingguan Herald, Father Lawrence Andrew.

Orang ramai yang mula berkumpul bermula jam 8 pagi di perkarangan mahkamah kini berselawat dan melaungkan dua kalimah syahadah sementara menunggu keputusan.

kalimah allah appeal case Kaum wanita yang hadir pula duduk berkumpul di perkarangan mahkamah sambil membaca al-Quran.

Mahkamah Rayuan menetapkan hari ini bagi mendengar permohonan Murphy untuk mengetepikan rayuan kerajaan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Kira-kira jam 1 tengah hari, kumpulan NGO masih lagi menunggu di luar mahkamah bagi menanti keputusan hakim. Pendengaran rayuan itu disambung jam 3 petang ini.

Semasa menunggu mereka turut mengambil gambar beramai-ramai dan meneruskan membaca al-Quran.

Mereka turut membawa kain rentang yang bertulis "Save Kalimah Allah".

Dalam pada itu, turut kelihatan hadir ke mahkamah untuk memberi sokongan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan Exco Pemuda Umno Lokman Noor Adam dan ulamak muda Umno, Fathul Bari.

"Saya hanya ke sini sebagai seorang rakyat Malaysia yang mengambil berat. Saya berdoa apa juga yang dipertimbangkan diatas (mahkamah) dapat menimbangkan perkara ini.

kalimah allah appeal case3 "Perkara ini dah lama dah. Jangan sesekali kita menyamakan negara kita dengan negara luar," kata Razali ketika ditemui pemberita di luar perkarangan mahkamah.

Sementara itu, peguam pemerhati dalam kes ini, Datuk Zulkifli Noordin ketika ditemui pemberita pula berkata, walau apa pun keputusan mahkamah, perbincangan seperti dialog terbuka dan seminar perlu diadakan bagi memberi pemahaman kepada orang bukan Islam.

"Tak kisah apa pun keputusannya, yang penting perlu perbanyakkan perbincangan. Bukan hanya dialog terbuka tetapi seminar dan banyak lagi.

"Saya yakin kita perlu perbanyakkan perbincangan dengan pihak yang berkepentingan," katanya. 

ADS