Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pencemaran berpunca tumpahan minyak pelincir terpakai
Diterbitkan:  Aug 31, 2013 8:37 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah menjalankan siasatan segera ke muka sauk empat Loji Rawatan Air (LRA) yang operasinya ditutup sementara semalam berikutan pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor, bagi mengenal pasti punca pencemaran itu.

    

LRA berkenaan ialah Rantau Panjang manakala tiga buah lagi di Kampung Bukit Badong iaitu SSP1 (SPLASH), SSP2 (Puncak Niaga) dan SSP3 (SPLASH).

    

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G.Palanivel berkata hasil siasatan itu mendapati kesan minyak tersebut berpunca daripada tumpahan minyak pelincir terpakai (SW 305) di dalam longkang pada sebuah bengkel penyelenggaraan lori di Jalan Batu Arang, Sungai Bakau, Rawang.

    

"Kesan pembuangan minyak itu menyebabkan kesan minyak yang ketara terhadap Sungai Gong yang akhirnya telah memasuki Sungai Selangor dan mengakibatkan empat loji air di Rantau Panjang dan Bukit Badong ditutup operasi sementara semalam.

    

"Pasukan penyiasat JAS telah melakukan persampelan minyak di Sungai Gong dan dalam premis untuk melengkapkan siasatan. Pihak premis telah diarah membuat sekatan serta-merta dengan menutup aliran longkang premis bagi menyekat aliran air bercampur minyak dari terus memasuki ke dalam Sungai Gong," katanya dalam kenyataan hari ini.

    

Palanivel berkata selain itu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah memasang peralatan kawalan tumpahan minyak di permukaan Sungai Gong berhampiran longkang yang melepaskan aliran air bercampur minyak bagi menghalang aliran minyak itu berterusan mencemari Sungai Gong dan seterusnya ke Sungai Sembah sebelum memasuki Sungai Selangor.

    

"Kerja-kerja mengumpul dan membersihkan buangan minyak oleh pihak premis selesai sekitar 5 petang (semalam) di sekitar premis dan buangan minyak yang dikumpul adalah dianggarkan sebanyak 4,000 liter,  distorkan di dalam premis.

    

"Kawalan dan pembersihan kesan-kesan buangan minyak yang masih terdapat di dalam sungai dikendalikan oleh pihak LUAS," katanya.

    

Hari ini Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita keseluruhan operasi premis terbabit termasuk kelengkapan penyelenggaraan kenderaan.

    

JAS Selangor pula menyita dua buah lori tangki milik premis yang digunakan untuk menyedut dan mengumpulkan buangan minyak untuk tindakan lanjut JAS, katanya.

    

Palanivel menegaskan JAS akan mengambil tindakan tegas berhubung insiden pencemaran itu selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga, Tenaga Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata empat Loji Rawatan Air (LRA) yang ditutup semalam kerana pencemaran diesel di Sungai Selangor, mula beroperasi  tengah malam tadi namun bekalan air ke kawasan terjejas dijangka pulih secara berperingkat di antara tiga hingga lima hari mulai hari ini.

    

Katanya, dalam tempoh tiga hari  itu, bekalan air di 80 peratus  kawasan terjejas terutamanya kawasan rendah dijangka kembali pulih seperti biasa.

    

Kerja mengepam air mentah dari Sungai Selangor bermula pada jam 12.30 tengah  malam tadi di LRA Rantau Panjang seterusnya LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) pada jam 12.40 pagi, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) pada jam 5 pagi dan LRA Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) pada jam 5.30 pagi, katanya kepada pemberita semasa meninjau muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 2.

    

Jumlah keseluruhan akaun pengguna air yang terjejas berikutan penutupan empat LRA itu ialah 899,931  terdiri daripada 183,340 akaun di Gombak, 66,893 di Kuala Lumpur, 347,925 di Klang, 4,993 di Kuala Langat,  35,620 di Kuala Selangor, 248,120 di Petaling dan 13,040 di Hulu Selangor.

    

Beliau berkata walaupun empat LRA iaitu Rantau Panjang dan SSP2 yang dikendalikan Puncak Niaga (Malaysia) Sdn Bhd dan SSP1 dan SSP3 yang dikendalikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) tidak beroperasi hampir 17 jam sejak jam 8 pagi semalam, tetapi pemulihan bekalan air akan mengambil masa yang lebih lama.

"Ini adalah kerana rizab bekalan air terawat di Lembah Klang kini berada pada paras yang rendah iaitu satu peratus," kata Mahdzir.

    

Berikutan itu, katanya pembinaan LRA Langat 2 yang membawa masuk air mentah dari Pahang amat diperlukan bagi memastikan bekalan air stabil untuk para pengguna di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.   

    

Menurutnya kira-kira 60 peratus daripada bekalan air di Lembah Klang bergantung kepada sumber air mentah dari Sungai Selangor yang diproses oleh empat LRA itu.

    

Sementara itu,  Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menjangka gangguan bekalan air di enam wilayah terjejas akibat pencemaran Sungai Selangor akan pulih secara berperingkat dalam masa tiga hari lagi sebelum pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

    

Sehingga kini, jumlah pengguna yang terjejas telah menurun kepada kira-kira 880,000 akaun pengguna iaitu 60 peratus daripada jumlah pengguna di enam wilayah iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

    

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat SYABAS, Abdul Halem Mat Som berkata pengguna wilayah Kuala Langat telah menerima bekalan air semula sepenuhnya sejak awal pagi tadi.    

    

"Oleh sebab kawasan yang terlibat amat luas dan jumlah pengguna yang terjejas melebihi sejuta orang, semua kakitangan Syabas kini bertugas 24 jam secara bergilir-gilir bagi memastikan semua kerja-kerja berjalan lancar," katanya kepada Bernama hari ini.

- Bernama

ADS