Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SK Chuping yang dihempap bongkah batu, dibuka Isnin ini
Diterbitkan:  Aug 31, 2013 8:49 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Sekolah Kebangsaan Chuping yang ditimpa bongkah batu semalam akibat kegiatan kuari dari kawasan berhampiran akan beroperasi seperti biasa Isnin ini, kata Pengarah Pendidikan Perlis, Dun Kasa.

    

Beliau berkata ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang terletak di pinggir Bukit Chuping.

    

Dalam kejadian tengah hari itu, bongkah batu bersaiz buah kelapa yang terpelanting daripada kawasan kuari berhampiran menghempap bangunan dewan makan sekolah dan menyebabkan silingnya runtuh dan serpihannya mencederakan 14 orang murid dan seorang guru.

    

Sepuluh orang murid perempuan, empat lelaki dan seorang guru wanita yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah dan dirawat sebagai pesakit luar.

    

Menurut Dun, terdapat kira-kira 150 murid tahun satu hingga lima di dewan berkenaan semasa kejadian kerana menyertai program mewarna sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan, sambil diawasi beberapa orang guru.

    

Beliau berkata pihaknya telah memanggil mesyuarat khas yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Mata Ayer, Khairi Hasan, para anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, wakil Persatuan Ibu bapa dan Guru, pentadbir sekolah dan pihak syarikat yang menjalankan aktiviti kuari berkenaan iaitu  Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) untuk  membincangkan kejadian tersebut.

    

Antara keputusan awal yang diambil ialah meminta pihak CIMA supaya mengubah jadual meletupkan batu kapur di bukit itu supaya operasinya tidak dilakukan semasa waktu persekolahan manakala jarak kuari perlu diubah agar lebih jauh iaitu sekurang-kurangnya 400 meter daripada kawasan sekolah, katanya.

    

Dun berkata pihak syarikat juga diminta mengurangkan tahap kekuatan bahan peledak bagi mengawal jarak jatuh serpihan batu.

    

Ditanya sama ada sekolah itu perlu dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat, beliau berkata perkara itu tidak berbangkit dan sekolah berkenaan perlu terus beroperasi di lokasi sedia ada.

    

Sementara itu CIMA dalam satu kenyataan berkata ia akan menghentikan aktiviti letupan sementara menunggu hasil siasatan Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Ia juga akan menyemak semula masa letupan dilakukan dan bersedia memindahkan kawasan letupan ke lokasi yang lebih jauh.

    

CIMA juga akan menghulurkan bantuan kepada murid dan guru yang cedera akibat kejadian itu.

    

Sejak 10 tahun lalu, batu kapur di Bukit Chuping menjadi penyumbang bagi bahan asas industri simen yang diusahakan CIMA.

- Bernama

ADS