Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Pada tahun 2008, kerajaan Malaysia telah menghentikan perundingan perjanjian FTA Amerika-Malaysia yang sudah berlangsung selama dua tahun, dengan 58 "isu tidak selesai".

Antara penentang utama FTA ialah menteri pertanian ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilaporkan berkata bahawa beliau tidak akan berkompromi dalam isu kesejahteraan hidup petani tempatan.

Malah, beliau dilaporkan pernah mengatakan ‘langkah mayat saya dahulu.'

Khairy Jamaludin, yang ketika itu turun protes, berpendapat bahawa FTA akan mengancam kedaulatan Malaysia dengan perlindungan paten, lantas menghalang akses kepada industri perubatan generik.

Jadi mengapakah kerajaan beriya-iya kini untuk menyertai TPPA? Apakah yang telah berubah selepas lima tahun? Yang pasti, kandungan ala FTA yang bakal mengisi TPPA masih kekal sama.

Kenapa Trans-Pasifik?

Kita boleh membuat andaian bahawa TPPA dikenali sebagai Trans-Pasifik kerana faktor lokasi geografi kedudukan negara-negara yang terlibat dalam rundingan.

TPPA unik kerana ia adalah perjanjian terbuka. Semua negara yang berminat boleh menyertainya selagi mana mereka bersetuju dengan apa yang telah dirundingkan pada waktu kemasukan itu, dan negara-negara lain bersetuju dengan penyertaan negara tersebut.

Negara-negara yang menyertai TPPA, kebanyakkannya sudah mempunyai perjanjian FTA dengan Amerika kecuali Jepun, New Zealand, Malaysia dan Brunei.

Jepun dan New Zealand merupakan negara maju yang mempunyai antara jaringan hubungan perdagangan yang terbesar di dunia, manakala Brunei ialah sebuah negara yang sangat kaya sumber, walaupun perdagangan yang kecil.

Hal ini menjadikan Malaysia, sebagai sebuah negara yang paling terancam dengan status sebagai negara membangun dan pihak baru dalam perjanjian TPPA dengan Amerika ini.

Bagi negara yang sudah pun mempunyai perjanjian dua-hala sedia ada FTA dengan Amerika, TPPA mungkin hanya melibatkan perubahan kecil kepada status perjanjian sedia ada. Tetapi untuk sebuah negara yang skala ekonominya kecil, TPPA bakal meninggalkan kesan yang lebih besar.

Rundingan pertama TPPA diadakan pada Mac 2010 melibatkan lapan buah negara, Malaysia menyertainya pada Disember 2010, di ikuti oleh Mexico dan Kanada pada Disember 2012. Baru-baru ini, Jepun menyertai rundingan pusingan di Kota Kinabalu.

Perjanjian FTA antara Amerika dan Singapura, Korea Selatan dan Chile boleh disandarkan sebagai panduan untuk kita melihat apa yang boleh diharapkan daripada TPPA.

FTA ini juga tidak banyak berbeza antara satu sama lain, dengan perbezaan kurang daripada 5 peratus secara puratanya.

Hal ini membawa kepada kita merumuskan bahawa Amerika melihat TPPA ini sebagai hanya satu daripada perjanjian-perjanjiannya yang menggunakan kerangka ‘standard'.

Mereka kelihatan tidak akan melayan "kerenah-kerenah" dan kehendak negara-negara yang lebih kecil ini (dikenali sebagai ‘pengecualian') di meja rundingan.

Kandungan teks TPPA juga sulit dan rundingan dijalankan secara tertutup. Hanya lima bab yang ketirisan secara tidak sengaja kepada orang awam iaitu pelaburan, harta intelek, perdagangan dan sekatan, dan garis panduan kawal selia. MITI melaporkan hampir 14 bab daripada 29 bab yang dibincangkan sudah pun dipersetujui dan disimpulkan.

Pelaburan & kedaulatan

Isu ini boleh dikatakan isu terpenting, kerana berkait dengan hampir semua bab yang dibincangkan. Bab ini akan menyekat ruang pembuatan dasar oleh kerajaan melalui klausa ‘Investor-To-State Dispute Settlement (ISDS)' dan ‘State-To-State Dispute Settlement' (SSDS).

ISDS ialah peruntukan bawah bab pelaburan, yang secara asasnya membenarkan mana-mana syarikat untuk mengheret kerajaan Malaysia ke mahkamah bagi tuntutan kerosakan dan ganti rugi.

TPPA bakal memperkuat "keadilan korporat" merentasi semua negara atas alasan "kesaksamaan dan kesamarataan".

Apakah kesaksamaan dan sama rata yang dimaksudkan di sini? Pendek kata, syarikat multinasional boleh selesa dengan kefahaman bahawa tiada perubahan ke atas undang-undang domestik yang akan melibatkan mereka secara buruk, sebaik sahaja mereka memulakan operasi di negara-negara rakan TPPA mereka.

Hakikatnya, hal ini menjadi tiket kepada syarikat gergasi multinasional untuk melangkah sistem undang-undang sebuah negara, melalui sebuah tribunal pengadilan antarabangsa yang dianggotai oleh tiga orang hakim; dua orang hakim antarabangsa dan seorang hakim tempatan.

Misalnya, jika Malaysia tiba-tiba mendapati bahawa terdapat kandungan kecil di dalam tembakau yang berbahaya dan membuat keputusan untuk mengharamkan kandungan tersebut, seterusnya menjejaskan keuntungan syarikat multinasional tembakau, syarikat itu mempunyai hak untuk menyaman kerajaan Malaysia berdasarkan potensi kerugian yang mereka alami sepanjang tempoh permit mereka beroperasi di Malaysia, beeserta faedah.

Itulah yang terjadi dalam kes Philip Morris, apabila syarikat itu menyaman kerajaan Australia atas pembentukan undang-undang baru tentang pembungkusan rokok. Perkara yang sama boleh terjadi ke atas Malaysia sekiranya negara kita hendak mengenakan undang-undang yang lebih ketat, ke atas pengusaha LYNAS, misalnya.

Malah, tidak melampau jika kita menjangkakan bahawa penggubal undang-undang dan Parlimen akan dibiarkan tidak berfungsi; mereka tidak boleh menggubal undang-undang yang memberi kesan kepada keuntungan syarikat multinasional dan kelangsungan perniagaan!

Kita masih ingat bagaimana Mexico disaman AS$16 juta kerana tidak membenarkan pembuangan sisa toksik berbahaya ke dalam alam sekitarnya oleh syarikat Amerika.

Satu lagi hal yang diketahui umum ialah negara maju seperti Amerika dan Jepun sedang berusaha untuk melaksanakan ISDS melalui TPPA dan juga apa-apa yang dilihat sebagai kekurangan di bawah perjanjian Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).

Walaupun kita hanya boleh mengandaikan klausa ini tidak diratifikasikan kerana potensi kesan negatif, kebimbangan yang wujud ini ada asasnya.

Perolehan k'jaan & pembangunan vendor Petronas

Dalam bahagian ini, semua perolehan kerajaan termasuklah berkaitan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petronas tidak boleh dalam apa jua cara memihak kepada kontraktor tempatan dalam kaedah yang boleh disifatkan sebagai tidak adil kepada perusahaan asing lain daripada negara-negara rakan TPPA.

Ada paras lantai dalam peraturan ini; daripada perjanjian-perjanjian lepas FTA Amerika, kita boleh menganggarkan ianya sekitar RM23 juta dan ke atas.

Jelas hanya kontrak sampingan kepada kontraktor tempatan yang tinggal. Sementara itu, kita melihat saiz perolehan kerajaan Malaysia sebanyak RM130 bilion, atau 25 peratus daripada KDN Malaysia.

Bukti empirikal menunjukkan bahawa 94 peratus daripada perolehan kerajaan Amerika diperolehi oleh syarikat tempatan Amerika (Khor, 2008) dan hanya 6 peratus diberikan kepada 170 syarikat di seluruh dunia.

Betapa terhadnya potensi yang diperolehi daripada sebuah usaha yang sepatutnya membuka peluang kita di Amerika! Apakah yang akan terjadi kepada kontraktor tempatan kita terutamanya kontraktor minyak dan gas?

Mampukah walau syarikat besar milik tempatan seperti Sapura Kencana dan MMHE sekalipun, bertahan menghadapi persaingan yang tidak bersimpati daripada negara maju? Apatah lagi nasib pemain-pemain industri kecil sederhana (SME).

Program Pembangunan Vendor Petronas yang telah banyak membantu membangunkan industri gas dan minyak tempatan juga nampaknya bakal tersingkir daripada persaingan ini.

SME dan pertanian

TPPA bertujuan untuk membebaskan perdagangan dan mengurangkan tarif, yang mana boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan yang drastik dalam banyak sektor.

Kesan langsung ialah tekanan terus kepada gaji pekerja lantas meluaskan lagi jurang pendapatan yang sudah sedia besar sekarang.

Mexico ialah contoh terbaik; hasil daripada pemeteraian Perjanjian Perdagangan Besar Amerika Utara (NAFTA) dengan Kanada dan Amerika, tiga juta daripada sepuluh juta rakyat Mexico kehilangan pekerjaan.

Pengurangan tarif akan memberikan kesan langsung terutama kepada produk pertanian. Bagaimana mulia pun niat TPPA mempromosikan keberkesanan dan persaingan sihat, niat itu menjadi tidak adil apabila kita melihat hakikat bahawa lebih 90 peratus syarikat Malaysia yang terlibat dalam sektor pertanian ialah syarikat kecil dan sederhana (SME).

Mereka akan menghadapi persaingan yang tidak seimbang daripada syarikat-syarikat gergasi pertanian daripada negara-negara seperti Amerika, Kanada dan Jepun, yang mana kerajaan tidak menurunkan pun subsidi yang besar kepada petani mereka.

Kajian oleh UNCTAD menunjukkan bahawa subsidi telah merendahkan kos pengeluaran beras Amerika sebanyak 45 peratus, kacang soya 32 peratus dan kapas sebanyak 52 peratus.

Pengiraan kasar menunjukkan bahawa hasil beras mereka mampu memenuhi pasaran Malaysia serendah RM1.40kg. Apakah yang akan terjadi kepada BERNAS, dan nasib pengeluar tempatan yang lebih kecil?

Harta intelek, paten perubatan & hak cipta

Syarikat farmasi gergasi akan mendapat hak ke atas paten ubat-ubatan dan mengekalkan pegangan hak cipta lebih lama dengan cara yang lebih mudah.

Hal ini akan melewatkan pengeluaran ubat generik dan penggunaan ubat-ubatan penyakit kronik dan melewatkan akses kepada ubat-ubatan untuk penyakit seperti kanser, HIV dan penyakit kronik lain.

Sebagai contoh, Herceptin, yang digunakan untuk kanser pada masa kini memerlukan RM8,000 setiap rawatan dan memerlukan kepada 17 pusingan rawatan.

Purata kos untuk rawatan pesakit kanser paru-paru boleh mencecah RM44,725 (AS$14,455) setiap tahun untuk seorang pesakit.

Peluang untuk mendapatkan rawatan ubat-ubatan ini semakin berkurang, terutamanya bagi mereka yang tidak mampu kerana harga yang terlalu tinggi, apabila akses kepada ubat-ubatan generik akan dilewatkan melalui TPPA kerana negara maju akan menambah jangka hayat paten lebih daripada tempoh 20 tahun.

Bahagian Hak Cipta dalam TPPA akan mengakibatkan rawatan perubatan bertambah mahal untuk kebanyakan rakyat Malaysia, aktiviti penyelidikan dan pendidikan juga akan menerima musibah dan kosnya meningkat disebabkan oleh undang-undang hak cipta yang lebih ketat dicadangkan.

Ini termasuklah ‘digital commons' atau harta umum digital seperti sumber maklumat daripada Internet. Undang-undang hak cipta kini akan dipanjangkan hayatnya daripada 50 kepada 120 tahun.

Maksudnya, 70 tahun lagi akses kepada pelajar dan dunia akademik diterhadkan, kerana harga buku rujukan dan sumber maklumat yang begitu tinggi.


ANAS ALAM FAIZLI profesional dalam industri minyak dan gas. Beliau sedang menyambung pengajian peringkat kedoktoran, pengasas bersama BLINDSPOT dan BANTAH TPPA, tweet di @aafaizli. Artikel ini bahagian pertama daripada dua bahagian.

ADS