Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggesa kerajaan menubuhkan bank khusus untuk bumiputera dengan dana permulaan sebanyak RM2 bilion.

Presiden DPMM, Datuk Syed Ali Alattas membuat cadangan itu kerana merasakan RM1 bilion yang diperuntukkan kerajaan menerusi agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera tidak mengandungi peruntukan untuk usahawan kelas menengah.

"Cadangan DPMM adalah menubuhkan bank Bumiputera dengan dana permulaan RM2 bilion dengan RM1 bilion disumbangkan kerajaan dan RM1 bilion disumbangkan orang Melayu," katanya dalam satu sidang media petang tadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak minggu lalu mengumumkan dana tambahan berjumlah RM700 juta kepada Tekun Nasional dan tambahan pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM300 juta untuk tempoh lima tahun.

Ia sebahagian daripada agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputera yang diumumkannya di Shah Alam.

Berucap lanjut, Syed Ali menjelaskan, bank yang dicadangkannya tidak mempunyai kaitan dengan Bank Bumiputra Malaysia Berhad yang sudah ditutup.

Menurutnya lagi, pihak DPMM sentiasa berkomunikasi dengan perdana menteri sebelum MEB diumumkan minggu lalu.

Namun katanya, cadangan bank bumiputera itu dibuat DPMM sebagai jalan keluar kepada masalah dana kerajaan yang dianggap tidak mencukupi untuk menggalakkan kemajuan usahawan bumiputera.

Sementara itu, beliau turut berharap agar DPMM dijemput menganggotai Majlis Ekonomi Bumiputera yang diumumkan Najib.

"Majlis Ekonomi Bumiputera kita alu-alukan tetapi kita harap wakil dewan kita mesti ada sama," katanya.

 
 
 

 

ADS