Belanjawan 2014 diharap kekang hutang negara

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia berharap Belanjawan 2014 yang akan dibentangkan perdana menteri bulan depan akan mengekang hutang negara pada kadar 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Syed ali alattas malay chambers presidentPresidennya, Datuk Syed Ali Alattas (kanan) berkata jika kadar hutang negara tidak dikekang daripada terus meningkat, ia akan menjerumuskan Malaysia ke dalam situasi ekonomi yang sukar.

"Kerajaan perlu pastikan, hutang kita, kita hadkan kepada 50 peratus daripada GDP (KDNK).

"(Ia) cukup bagus (kalau dapat dicapai).

"Pada kadar hutang 55 peratus (daripada KDNK), itu dikira berada pada peringkat pertengahan.

"Kalau lebih daripada itu, kita akan menghadapi masa yang sukar," katanya kepada pemberita selepas sidang media petang tadi.

Belanjawan 2014 akan dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober depan.

Ramai menjangka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam belanjawan tersebut.

Bagaimana pun, Najib sendiri sehingga kini tidak mengesahkan atau menafikan perkara itu.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.