Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MyCC kenakan langkah interim untuk persatuan lori
Diterbitkan:  Sep 21, 2013 10:01 AM
Dikemaskini: 2:02 AM

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) semalam mengeluarkan cadangan langkah-langkah interim kepada Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia (PMLOA), ahli-ahlinya dan perusahaan berkaitan lori, terhadap kemungkinan berlaku pelanggaran peraturan, berikutan langkah untuk menaikkan caj pengangkutan sebanyak 15 peratus.

    

MyCC dalam kenyataan semalam berkata suruhanjaya itu menganggap adalah perlu untuk melaksanakan langkah-langkah seumpama itu mengikut Seksyen 35(4) Akta Persaingan 2010 bagi mencegah kerosakan ekonomi yang serius serta melindungi kepentingan awam.

    

PMLOA telah mengeluarkan kenyataan yang disiarkan akhbar tempatan pada 11 September menyatakan bahawa PMLOA sebulat suara dalam keputusannya untuk menaikkan caj pengangkutan sebanyak 15 peratus.

    

MyCC berkata suruhanjaya itu telah mengeluarkan notis kepada PMLOA dan 40 pihak lain yang terdiri daripada ahli PMLOA dan perusahaan lori.

    

Langkah-langkah interim yang dicadangkan melibatkan ahli-ahli PMLOA dan perusahaan lori berkaitan yang diarah menggantung dan berhenti daripada bertindak mengikut keputusan PMLOA pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Ketiga pada 7 Sept iaitu caj pengangkutan diselaraskan dengan maksimum 15 peratus.

MyCC berkata mereka mempunyai asas yang munasabah bahawa keputusan itu melanggar atau berkemungkinan melanggar Seksyen 4(2)(a) Akta Persaingan.

    

PMLOA telah diarah supaya tidak membuat keputusan mengenai sebarang kenaikan atau penetapan caj pengangkutan, katanya.

    

"Bagi 11 anggota PMLOA, mereka diarah untuk tidak melaksanakan keputusan PMLOA bagi pihak anggotanya.

    

"Bagi perusahaan lori berkaitan, mereka diarah untuk tidak melaksanakan keputusan yang disebut di atas oleh PMLOA dan anggota perusahaannya tentang apa-apa kenaikan atau penetapan caj pengangkutan," kata kenyataan itu.

    

MyCC berkata PMLOA dan perusahaan lori berkaitan perlu menyerahkan pernyataan bertulis dalam tempoh tujuh hari bekerja daripada tarikh notis diserah kepada mereka.

    

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Shila Dorai Raj dalam kenyataannya berkata langkah itu berikutan amaran yang dikeluarkan lebih awal oleh MyCC kepada persatuan-persatuan agar tidak menyokong tindakan antipersaingan, terutama menetapkan harga.

    

"Ia bertujuan mengukuhkan lagi hakikat bahawa MyCC serius dalam menangani perbuatan antipersaingan dalam kenaikan harga berikutan rasionalisasi subsidi minyak baru-baru ini," katanya.

    

-Bernama

ADS