Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempertahankan dakwaannya yang BERSIH pernah menghantar warganegara Bangladesh yang menyamar sebagai warganegara ke kawasan parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum lalu.

"Dengan mata saya sendiri, saya nampak satu teksi, dengan tiga orang Bangladesh dan satu orang putih.

"Dia sengaja masuk dalam tempat mengundi dan tentunya kerja kita maklumkan kepada EC (SPR) bahawa ini bukan pengundi, jangan bagi dia masuk.

"Apabila kita kejar, dia lari. Bila kita tanya dia, dia kata dia diupah. Jadi siapa yang hantar?" kata Tengku Adnan kepada pemberita sewaktu ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi BERSIH, Datuk S Ambiga yang menggesa Adnan agar memberi keterangan di hadapan Tribunal Rakyat yang dianjurkan BERSIH berkenaan dakwaannya itu.

Bercakap lanjut, Adnan mencabar Ambiga agar mendedahkan sumber dana BERSIH dalam menjalankan aktivitinya.

 

"Saya pun nak tanya dengan Ambiga, daripada mana dia dapat duit?

"Barangkali dia ada dalang-dalang tertentu yang mengguna pakai kononnya atas nama BERSIH sebagai NGO tetapi menjahanamkan negara ini," katanya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan yang beliau tidak berminat untuk berbincang dengan Pakatan Rakyat tentang perpaduan nasional.

Menurutnya, sebarang perbincangan akan hanya berlangsung di antara BN dan Pakatan Rakyat walaupun dapatan pusat kajian UMcedel semalam menunjukkan 69 peratus responden mahu melihat perpaduan di antara Pakatan Rakyat dan BN.

"Kalau segi nak bincang dengan mereka, mereka akan politikkan.

"Kalau nak bincang, kita ini anggota Parlimen, dia (Pakatan Rakyat) ada 89 (MP dan) kita ada 133 (MP).

"Bincang di parlimen sajalah," katanya.

ADS