Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang lelaki Malaysia dan Hong Kong ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang lewat malam tadi kerana didakwa membawa masuk barangan berkaitan Parti Komunis Malaya (PKM).

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, mereka ditahan selepas pihaknya mendapat maklumat pada malam itu ketika mereka tiba dengan penerbangan Thai Airways dari Bangkok.

Katanya, lelaki berumur 66 dan 59 tahun itu kemudian dibawa ke balai polis Bayan Baru untuk disoal-siasat.

Malaysiakini difahamkan, keluarga terdekat bekas setiausaha agung PKM Ching Peng yang menghadiri upacara pengebumiannnya di Bangkok semalam memasuki kembali negara ini tanpa diberhentikan, diperiksa atau disoal oleh pegawai imigresen.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua meninggal dunia pada Hari Malaysia 16 September ketika umur 90 selepas menderita sakit yang lama.

Dalam sidang media balai polis Bayan Baru hampir tengah malam tadi, Abdul Rahim berkata, polis merampas 8 CD, 11 cenderahati dan 12 buku berkaitan Chin Peng dan PKM. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdul Rahim sebagai berkata, bahan itu, termasuk buku dalam bahasa Melayu dan Cina itu mungkin untuk kegunaan sendiri atau edaran.

Kepada satu pertanyaan, Abdul Rahim berkata polis tidak menjumpai abu mayat mendiang Chin Peng dalam bagasi yang diperiksa.

Beliau berkata, kedua-duanya disiasat mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (Pindaan) 2012.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Mohd Zain berkata dua lelaki tersebut - seorang warga tempatan dipercayai bergelar Datuk Seri dan seorang rakyat Hong Kong - dibebaskan awal pagi ini dengan jaminan polis.

    

Menurutnya, lelaki warga tempatan berusia 66 tahun dan warga Hong Kong berumur 59 tahun itu dibebaskan selepas polis merekodkan keterangan mereka.

    

"Selepas merekodkan keterangan mereka, kita bebaskan dengan jaminan polis. Siasatan berhubung kes itu masih dijalankan jadi saya tidak boleh mengulas lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama, di George Town hari ini.

    

 

ADS