Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas MB Kedah Azizan Razak meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 26, 2013 11:39 AM
Dikemaskini: 1:27 PM

Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar pagi ini, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Perubatan 1 HSB Dr Norzaini Morad berkata Azizan disahkan meninggal dunia pukul 11.05 pagi berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai.

Katanya keadaan Azizan yang dipindahkan dari Hospital Pulau Pinang (HPP) ke HSB bulan lepas mula kritikal sejak pagi semalam selepas mengalami serangan jantung.

azlan"Rawatan agresif telah diberikan dan antibiotik terbaik juga diberikan. Jangkitan kuman mungkin berpunca daripada keadaan pesakit yang lemah. Diabetis juga memudahkan pesakit dijangkiti (kuman), selain komplikasi buah pinggang dan 'end-stage' di peringkat rawatan dialisis," katanya pada sidang media di HSB hari ini.

Pada 6 Mei lepas, Azizan yang menghadapi masalah bengkak kaki dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar sebelum dipindahkan ke HPP keesokan harinya.

Di HPP, Azizan yang merupakan ADUN Sungai Limau terpaksa menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis, bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kakinya merebak ke anggota badan yang lain.

Setelah lebih tiga bulan menerima rawatan di HPP, pada 14 Ogos lalu beliau dipindahkan ke ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB.

Sejak pukul 3 pagi semalam, keadaan kesihatan Azizan dilaporkan kritikal kerana menghadapi masalah jantung yang serius dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Setiausaha PAS kawasan Jerai Muzaini Azizan berkata, jenazah Azizan akan disembahyangkan di Markaz PAS Pokok Sena sebelum dikebumikan di Muassasah Darul Ulum pada jam 5.00 petang ini.

"Jenazah kini dalam perjalanan ke Markaz PAS Pokok Sena. Semua urusan mandi dan mengkafan jenazah beliau dilakukan di hospital.

"Rakyat boleh mengunjungi jenazahnya di markaz tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini kira-kira jam 1.30 petang ini.

Muzaini berkata jenazah bekas pesuruhjaya PAS itu akan dikebumikan bersebelahan dengan bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor di muassasah tersebut.

Azizan yang juga bekas pesuruhjaya PAS Kedah meninggalkan dua orang isteri dan 14 orang anak.

Susulan kematian Azizan, kerusi DUN Sungai Limau kosong dan membolehkan pilihan raya kecil kedua diadakan selepas di DUN Kuala Besut.

Dalam pilihan raya umum lalu, Azizan berdepan dengan cabaran empat penjuru termasuk sepupunya Mohd Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN. Azizan mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 2,774 undi.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah menziarah jenazah Azizan di Masjid Nurul Ihsan, Jalan Langgar dekat Alor Setar.

   

Seri Paduka berdua tiba di masjid itu pukul 3.50 petang dan turut serta, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut berjumpa dengan keluarga Allahyarham di masjid itu untuk mengucapkan takziah.

Sementara itu, jenazah Azizan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Muasassah Darul Ulum, Pokok Sena dekat Alor Setar kira-kira jam 5.30 petang tadi.

   

Jenazah Azizan yang dibawa dari Masjid Nurul Ihsan, Jalan Langgar dekat Alor Setar, tiba di tanah perkuburan itu pada pukul 4.50 petang.

   

Antara yang hadir mengiringi jenazah di tanah perkuburan itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Sementara itu, Dr Mahathir menyifatkan Allahyarham Azizan seorang sahabat yang baik walaupun berbeza parti politik.

   

Beliau berkata bekas Menteri Besar Kedah itu bersikap tidak keterlaluan dalam politik dan sanggup berbaik-baik dengan semua orang.

   

Katanya Azizan juga bersikap memenuhi permintaan orang ramai tanpa mengira parti ketika menjadi wakil rakyat dan Menteri Besar.

   

"Sahabat, sahabat... politik, politik. Perhubungan saya dengan dia memang baik.

   

"Dia (Azizan) seorang berpegang kuat kepada ajaran Islam dan tak pernah menyeleweng," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas upacara pengebumian jenazah Allahyarham Azizan di Tanah Perkuburan Muasassah Darul Ulum, Pokok Sena, dekat Alor Setar hari ini.

 

ADS