Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM suarakan kebimbangan mengenai TPPA
Diterbitkan:  Oct 7, 2013 7:22 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Sambil menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa perkara dalam rundingan Perkongsian Trans-Pasifik berikutan ia 'menceroboh' hak kedaulatan dalam merangka formula peraturan dan dasar, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata fleksibiliti merupakan kunci utama kejayaan dalam rundingan.

NONE"Ada beberapa perkara yang membimbangkan kita memandangkan TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang berbeza," kata Najib menyuarakan pandangan rakyat Malaysia selain organisasi bukan kerajaan (NGO) pada forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Nusa Dua, Bali hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa fleksibiliti merupakan kunci utama kejayaan rundingan perjanjian itu pada dialog bertema 'Pelaburan dalam Infrastruktur dan Modal Insan -- Melabur untuk Daya Tahan Ekonomi pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apec 2013.

Perdana Menteri yang menjadi anggota panel forum itu menyatakan kebimbangan beliau itu sebagai menjawab pertanyaan moderator dialog itu, Diane Brady, editor kanan Bloomberg mengenai TPPA.

Najib yang juga Menteri Kewangan ialah anggota panel forum itu bersama Presiden Mexico Enrique Pena Nieto.

Sidang kemuncak CEO itu berlangsung sebelum Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Apec pada Selasa.

Beliau berkata TPPA, yang dilancarkan pada 2011 dan kini memasuki rundingan pusingan ke-19, melepasi Perjanjian Perdagangan Bebas biasa dan pakatan pelaburan yang Malaysia jalin bersama banyak negara.

"Apabila melihat lebih mendalam, dalam bidang harta intelektual, penyelesaian pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan buruh, anda mencerobohi hak kedaulatan sesebuah negara dalam membuat peraturan dan dasar.

"Ini merupakan bahagian yang sukar, dan itu sebab kami minta ia lebih fleksibel," katanya.

Semalam Najib berkata perjanjian TPP dijangka mengambil masa yang lebih lama untuk dimuktamadkan berbanding tarikh awalnya hujung tahun ini.

TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan oleh negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik -- Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri hari ini memberitahu Dewan Negara kerajaan akan memastikan kepentingan negara dan rakyat tidak di kompromi dalam rundingan pakatan perdagangan yang sedang berjalan.

Sementara itu, beliau yang ditanya mengenai kepentingan Bumiputera atau dasar tindakan afirmatif untuk daya tahan negara, Najib berkata:

"Dasar Bumiputera perlu dilihat dalam konteks mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama memandangkan Bumiputera membabitkan 67 peratus penduduk, termasuk Islam dan Bumiputera bukan Islam selain di Sabah dan Sarawak."

Beliau berkata jika Bumiputera ketinggalan atau dipinggirkan, ia tidak akan dapat mewujudkan kestabilan jangka panjang dalam negara.

Untuk masa depan, Najib berkata dasar itu akan dilaksanakan secara mesra pasaran dan berbeza daripada masa lampau yang mengundang kritikal.

"Jika ia dilaksanakan secara lebih adil dan mesra pasaran, saya yakin ia membawa kebaikan kepada negara," katanya dan menambah walaupun dasar itu dilaksanakan, bukan Bumiputera masih mendapat manfaat daripada dasar yang sama.

- Bernama

ADS