Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu kalimah Allah: Libatkan rakyat dalam dialog produktif - Kurup
Diterbitkan:  Oct 17, 2013 8:38 AM
Dikemaskini: 1:23 AM

Parti politik dan pemimpin harus melibatkan rakyat dalam dialog produktif bagi meredakan ketegangan susulan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa akhbar mingguan Katolik, The Herald , tidak dibenar menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Bahasa Malaysia.

    

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata mereka perlu mengelak daripada terlibat dalam pertandingan 'holier-than-thou' atau siapa lebih hebat.

    

"Saya menggesa semua pihak demi perpaduan negara agar berhati-hati dengan kenyataan mereka, tidak provokatif dengan kenyataan tidak wajar dan berhenti mencipta ketakutan sehingga sesetengah masyarakat mula mempersoal kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan di negara kita," katanya dalam satu kenyataan semalam.

    

Kurup, yang juga presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, menggesa semua parti agar sentiasa mengingati bahawa Malaysia adalah sebuah negara aman dan penyayang serta amat menghargai perpaduan dalam kalangan rakyatnya.

    

Sementara itu, di KOTA KINABALU, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyeru semua rakyat Malaysia bertenang dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

    

Ongkili, yang juga menteri tenaga, teknologi hijau dan air, menggesa orang ramai untuk membenarkan proses undang-undang berjalan dan tidak membiarkan perkara itu mengganggu keamanan serta perpaduan antara kaum di negara ini.

    

"Saya harap setiap rakyat Malaysia akan terus mengekalkan semangat perpaduan dan kestabilan di negara ini, serta tidak membiarkan isu ini memecah-belahkan rakyat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

- Bernama

ADS