Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Dukacita dimaklumkan bahawa kemudahan dan infrasktruktur di Pejabat Ketua Pembangkang tidak lengkap.

Peruntukan yang terhad menyebabkan Pejabat Ketua Pembangkang tidak berupaya menggaji bilangan pegawai penyelidik dan sebagainya yang mencukupi atau menambah baik kemudahan di pejabat.

Di bangunan Parlimen, hanya 3 bilik pejabat masing-masing berada di tingkat 13 dan tingkat 14 diadakan untuk kegunaan seramai 89 ahli Parlimen Pakatan.

Apabila mesyuarat atau perjumpaan diadakan, ahli-ahli Parlimen Pakatan terpaksa terhimpit dalam bilik mesyuarat di Pejabat Ketua Pembangkang yang hanya dapat menampung 30 orang.

Jelasnya, kemudahan dan ruang untuk kegunaan wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya amat terhad.

Pada pendapat Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), imbuhan elaun wajar disalurkan kepada Pejabat Ketua Pembangkang untuk kegunaan menggaji bilangan pegawai penyelidik secukupnya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan secara keseluruhannya.

Ia seterusnya akan memanfaatkan rakyat jelata dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Di negara-negara komanwel lain, pengiktirafan terhadap ketua pembangkang yang setaraf dengan menteri kabinet juga dengan memperuntukkan wang kepada Pejabat Ketua Pembangkang.

Ia untuk membiayai kos perbelanjaan pengurusan, termasuklah bagi menampung gaji pegawai kanan dan penyelidik.

Di United Kingdom (UK), Pejabat Ketua Pembangkang diperuntukkan sejumlah wang bagi membiayai perbelanjaan pengurusan.

Berikutan ialah peruntukan bagi Pejabat Ketua Pembangkang antara 1999 hingga 2012:

Tahun Jumlah (£ setiap tahun kewangan)

1999/2000 500,000.00

2000/01 513,000.00

2001/02 524,799.00

2002/03 531,621.39

2003/04 548,101.65

2004/05 563,448.50

2005/06 583,169.00

2006/07 595,999.00

2007/08 622,223.00

2008/09 647,112.00

2009/10 652,936.00

2010/11 668,606.00

2011/12 700,699.00

Sumber: House of Commons, Department of HR and Change

Pejabat Ketua Pembangkang di Australia pula mempunyai sejumlah 39 kakitangan, termasuklah seorang ketua kakitangan ketua pembangkang, seorang penasihat kanan (baca: ketua pegawai penyelidik), 10 orang penasihat kanan (pegawai penyelidik), penasihat media kanan, dua penasihat media, lima penasihat (setiausaha kerja), 11 penolong penasihat, dua penasihat eksekutif dan enam setiausaha/penolong kanan.|

Reformasi DUN negeri Pakatan

Di negeri-negeri Pakatan, inisitiatif diambil oleh kerajaan Selangor dalam usaha mengiktiraf peranan ketua pembangkang dengan memberi elaun pemandu dan elaun setiausaha kerja.

Kerajaan Pulau Pinang turut tidak menafikan hak ADUN oposisinya dengan memperuntukkan RM40,000 setahun kepada mereka bagi membiayai projek infrastruktur.

Langkah-langkah sedemikian memastikan bahawa setiap wakil rakyat, tanpa mengira sama ada berasal dari parti pemerintah atau parti oposisi, masing-masing mendapat sumber kewangan untuk memberi perkhidmatan yang bermutu kepada rakyat jelata.

Tambahan pula, beberapa inisiatif bagi mereformasikan DUN Selangor sebagai langkah mengukuhkan sistem demokrasi di peringkat DUN juga diambil.

DUN Selangor mencipta sejarah apabila buat kali pertama di Malaysia meluluskan usul melantik wakil pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

Namun demikian, Ketua Pembangkang BN Datuk Mohd Shamsuddin Lias menolak tawaran tersebut, malahan mengelakkan daripada menjalankan tugas kepada rakyat untuk dua penggal berturut-turut apabila ditawarkan sekali lagi pada tahun ini.

Penting sekali, sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negeri Selangor pada tahun 2008, kerajaan Selangor mewujudkan sistem pengawasan yang lebih ketat dan telus dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

Jawatankuasa itu berkuasa untuk memanggil pendengaran awam dan pembuktian berhubung pelbagai isu, tidak kira sama melibatkan wakil rakyat dari parti oposisi mahupun parti pemerintah.

Melalui SELCAT, pemantauan dan penyeliaan pentadbiran dapat dijalankan dengan lebih berkesan bagi memastikan perkhidmatan yang lebih bermutu diberi kepada rakyat.

Inisiatif pembaharuan sedemikian untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran negeri mendapat pujian daripada pakar-pakar perlembagaan dan badan pemantauan atau pengawasan.

KPRU menyenaraikan dengan ringkasnya pencapaian negeri-negeri Pakatan dalam ikhtiar mereformasikan Dewan Undangan Negeri bagi mewujudkan demokrasi yang sebenarnya, bagi rujukan Dewan Rakyat.

Selangor

10/10/2013: Majlis mesyuarat kerajaan Negeri meluluskan keistimewaan tambahan kepada ketua pembangkang DUN berjumlah RM8,620 sebulan.

26/03/2013: Menubuh badan kebebasan maklumat bawah Enakmen Kebebasan Maklumat yang diluluskan pada April 2011.

01/04/2011: Meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011.

03/2009: Menubuhkan SELCAT.

Sejak 2008: Melantik ketua pembangkang sebagai Pengerusi PAC.

Pulau Pinang

22/09/2013: Memperuntukkan RM40,000 setahun kepada ADUN pembangkang bagi projek infrastruktur.

11/2011: Meluluskan enakmen baru yang bergelar Enakmen Kebebasan Maklumat.

13/11/2008: Membentang usul bagi meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan Saraan Ahli Dewan Undang Negeri (Saraan) 1980 bagi membolehkan Ketua Pembangkang di DUN berhak menikmati elaun bulanan RM1,000.

Hanya dalam tempoh dua penggal menerajui tampuk pemerintahan negeri, kerajaan negeri Pakatan Selangor dan Pulau Pinang bersungguh-sungguh mengambil inisiatif menggerakkan pendemokrasian DUN dan menunjukkan teladan kepada kerajaan negeri yang lain.

Ironinya, kerajaan persekutuan, biarpun selepas memerintah lebih daripada separuh abad, masih gagal mencatat mana-mana pencapaian.

Manakah terletaknya air muka kerajaan BN sekiranya masih kebelakangan dan ketinggalan dalam menjunjung prinsip demokrasi sedangkan beria-ia dengan laungan "transformasi" dan endless possibilities ?


Bahagian I: Berita baik buat ketua pembangkang dalam bajet?

ADS