Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Bukan mudah merungkaikan satu kerumitan tetapi amat mudah untuk mengusutkan sesuatu yang mudah. Hanya ilmu dan kewarasan akan menentukan garis pemisah antara sentimen dan keilmuan.

Masyarakat kita suka merumitkan perkara yang mudah dan memudahkan perkara yang rumit, apatah lagi media dan kepimpinan politik tidak banyak membantu meredakan keadaan.

Manakala ulama tidak banyak mendidik prinsip yang memahamkan orang awam dan pemerintah dalam suasana hubungan Islam dan bukan Islam yang hidup dalam suasana kepelbagaian hari ini.

Isu kalimah Allah termasuk dalam kategori yang perlu penghuraian yang tuntas dan bernas supaya diadunkan dengan berbagai premis hujahan yang akan mematangkan fahaman kita terhadap sesuatu isu.

Dengan meneliti hujahan para pengkritik dalam isu kalimah Allah kita boleh merumuskan bahawa ia bukan antara yang menyokong dan tidak menyokong.

Jikalau kita menyatakan demikian bahawa ada yang menyokong dan ada yang tidak kita terjebak ke dalam perangkap 'mudah' dalam meneliti sesuatu masalah yang cuba menjelaskan sesuatu prinsip besar dalam Islam.

Dalam memahami isu ini ada beberapa perkara yang perlu diambil kira untuk memahami konteks yang diperdebatkan.

Urutan peristiwa dan isu

Ia bermula dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada hujung tahun 2009 secara tepat pada 31 Disember.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya setelah dilarang dan disekat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Keputusan itu menimbulkan kemarahan umat Islam dan sepanjang tahun 2010 kes ini menguasai media sama ada pro dan kontra.

KDN meneruskan saluran perundangan dengan mengemukakannya ke Mahkamah Rayuan.

Kronologi pertikaian penggunaan kalimah Allah bermula pada pada 16 Februari 2009 apabila Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan gereja itu serta menamakan KDN dan kerajaan sebagai responden.

Gereja menuntut, antara lain, deklarasi bahawa keputusan menteri dalam negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald tidak sah, dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.

Majalah mingguan Katolik yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk "God" bagi seksyen bahasa Malaysia.

Namun kerajaan berhujah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan menteri melarang penerbitan The Herald itu daripada menggunakan kalimah Allah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 5 Januari 2010, KDN memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada Julai 2013, Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur memfailkan permohonan bagi membatalkan permohonan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah itu.

Mahkamah Rayuan menolak dan menetapkan pendengaran penuh rayuan pada 10 September lalu.

Keputusan 10 September untuk rayuan penuh ditangguh kepada 13 Oktober 2013. Keputusan rayuan pada 14 Oktober yang lalu menetapkan bahawa The Herald tidak boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Momentum & sensasi media

Perkembangan isu dari satu tahap ke satu tahap menggambarkan momentum isu sentiasa mendapat perhatian dan sensasi media.

Ia tidak berakhir dengan keputusan Mahkamah Tinggi tetapi alasan untuk mengemukakan rayuan memberikan impak isu ini seolah merupakan isu keselamatan negara.

Teori Kristianisasi semakin menjadi fokus utama dalam membincangkan isu kalimah Allah apabila permusuhan Kristian-Islam di Malaysia menjadi semakin menajam.

Media membesarkan isu, kononnya ada usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, adanya Gereja Methodist Damansara Utama yang mengadakan majlis memurtadkan orang Islam dan isu ahli Parlimen Lembah Pantai dikontraversikan sebagai menyokong murtad.

Begitu juga dengan ucapan Krismas ketua menteri Pulau Pinang yang disensasikan dan terkini demonstrasi ke atas ahli Parlimen Parit Buntar dan cubaan menghalang usaha dialog antara agama di Gereja Anglican Butterworth.

Perkembangan isu kalimah Allah seolah diperluaskan kepada isu-isu sensitif yang memburukkan hubungan antara agama di negara ini sepanjang negara ini mencapai kemerdekaan.

Perkembangan isu seolah-olah dibentuk momentumnya untuk memberi tekanan kepada penganut Katolik dan membentuk mesej supaya mempertahankan Islam dari konspirasi Kristian di Malaysia.

Emosi iringi keadaan

Suasana sepanjang kes ini dilanggani boleh dikatakan penuh emosi dan sensasi dari keilmuan dan objektiviti.

Media berperanan untuk membentuk sentimen itu dan kenyataan pemimpin dibentuk begitu rupa oleh media untuk memberikan gambaran yang lebih bersifat permusuhan dan kebencian.

Keadaan ini menyebabkan ketegangan hubungan dengan penganut Katolik di mana rumah ibadat menjadi sasaran dan prejudis antara umat beragama semakin menjadi lebih jelas.

Nilai ekstrimisme seolah terbuka luas dengan sikap emosional yang diambil oleh kelompok ekstrim kanan dan kelompok liberal mendapati ianya peluang untuk menegaskan pendiriannya yang selama ini mungkin terpendam dan lebih berhati-hati.

Soalnya apakah sepanjang emosi ini dimainkan kita menggadaikan objektiviti tajuk dan meletakkan negara kita sebagai pertaruhan?

Aktor pelbagai jalur

Setiap isu pasti ada aktornya yang memimpin isu, dalam hal ini media, parti politik dan kelompok masyarakat sivil dan institusi penganut Katolik dan umat Islam.

Para aktor memilih jalur masing-masing untuk memberi makna kepada isu yang diperdebatkan atas apa jua matlamatnya.

Aktor yang mendapat liputan ialah golongan ekstrim kanan seolah-olah mereka mewakili kelompok umat Islam yang menyatakan jalur kerasnya kepada isu kalimah Allah.

Aktor yang memilih jalur pertengahan dengan mengambil cara dialog dan wacana dilabel sebagai jalur liberal yang bersikap lunak kepada 'musuh' Islam.

Pada waktu yang sama kerajaan menunjukkan sikap 'toleransi' dengan membenarkan kemasukan kitab Injil berbahasa Melayu, Alkitab yang tertera kalimah Allah dalamnya.

Sebelumnya pihak kastam menyekat kemasukan hampir 35,000 naskhah di pelabuhan Klang dan Kucing tahun 2011. Agak menarik siapa yang mengkaji sikap kerajaan BN.

Ketika mereka diam dengan tindakan golongan ekstrim kanan, pada waktu yang sama 'berlunak' dengan pihak Katolik kerana pada waktu itu berlangsungnya pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sarawak yang majoritinya penganut Kristian.

Setelah meneliti isu kalimah Allah dalam perspektif peristiwa dan perkembangannya, kita akan memahami bahawa isu ini secara keseluruhannya bermula dengan perspektif perundangan.

Ia kemudian berkembang kepada mobilasasi masyarakat dan media memberikan nilai-nilai sensasi dan emosi untuk menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Manakala kelakuan toleransi kerajaan BN menampakkan isu ini tidaklah terlalu sensitif apabila kerajaan mempunyai keazaman untuk berunding dengan pihak tertentu yang berkepentingan.

Premis hujahan

Setelah meneliti premis hujahan mereka yang mengikuti perdebatan ini, menjadi tanggungjawab kita untuk menilai dan meletakkan pandangan masing-masing atas neraca ilmu.

Ini kerana tidak semua yang diperkatakan boleh diterima sepertimana tidak semuanya boleh ditolak.

Kita hanya perlu meletakkan apakah kerangka yang membentuk hujahan mereka dan dari sini kita boleh mengatakan pandangan yang lebih berobjektif apabila melihat isu secara menyeluruh.

Saya membahagikan hujahan tentang kalimah Allah oleh kesemua pihak di atas beberapa premis iaitu premis teologi, premis prinsip dan premis perundangan.


DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah ahli Parlimen Parit Buntar dan pengerusi Forum Dialog Antara Agama Asia Tenggara.

Buku terbaru beliau Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian memuatkan catatan pengalaman selaku pengerusi lujnah perpaduan PAS yang berdialog dengan lebih 30 gereja di seluruh negara sejak isu kalimah Allah meletus.

Bahagian II: 'Allah' dalam premis teologi, prinsip & perundangan

ADS