Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rais: Jalan Melayu akan 'dimelayukan'
Diterbitkan:  Oct 29, 2013 6:40 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

Jalan Melayu di Kuala Lumpur akan dibangunkan semula dengan identiti Melayu daripada segi perniagaan, seni budaya dan muzikal, kata penasihat kerajaan bagi hal ehwal sosial dan kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Rais berkata usaha itu penting memandangkan tiada sebatang jalan di ibu negara yang benar-benar mencerminkan sosiobudaya kaum Melayu di Malaysia untuk ditonjolkan kepada pelancong asing.

Katanya usaha kerajaan membangunkan semula Jalan Melayu yang terletak berhampiran Jalan Masjid India tidak harus dicemburui kaum lain memandangkan masyarakat India telah mempunyai Little India di Brickfields, manakala kaum Tionghua mempunyai China Town di Jalan Petaling.

"Kaum lain tidak patut rasa kecil hati kerana masing-masing telah ada tempat, tapi kaum Melayu tiada Malay Street yang betul-betul tipikal Melayu," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekitar Jalan Melayu di sini, hari ini.

Rais, yang juga bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (kini Kementerian Komunikasi dan Multimedia) berkata pembangunan semula Jalan Melayu itu dijangka dimulakan Januari tahun depan dengan melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelancongan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Warisan Negara.

"Apa kegiatan yang akan kita lakukan di Jalan Melayu ini akan kita fikirkan tapi mula-mula sekali kita akan cuba baiki bumbung kedai yang ada dan petak-petak perniagaan untuk penjaja Melayu," katanya.

Selain itu, Rais berkata pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan mengenai penubuhan Yayasan Warisan Negara bagi memperkasakan lagi pembinaan negara bangsa.

Katanya jika penubuhan yayasan itu dipersetujui, ia akan mencari formula paling praktikal untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa celik budaya, seni dan juga warisan.

- Bernama

ADS