Walaupun dibantah penduduk tempatan di Kepong dan beberapa NGO, kerajaan tetap nekad untuk membuka tender bagi loji melupus sampah di Taman Beringin, Kepong.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata kerajaan akan membuka tender antarabangsa dalam jangka masa dua bulan akan datang.
"Kita akan terus melibatkan penduduk di situ tetapi buat masa ini kita sudah putuskan untuk membuka tender," katanya pada sidang media di lobi Parlimen petang tadi.
Menurutnya, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan pelbagai teknologi untuk loji itu dan tidak akan mengehadkan tender itu kepada loji pelupusan dandang (insinerator stoker) semata-mata.
"Sebelum ini kita kata kita sudah putuskan stoker incinerator. Tetapi sekarang kita buat keputusan untuk buka tender kepada teknologi insinerator yang berbeza," katanya.
Namun tegasnya, lokasinya akan kekal walaupun dibantah penduduk setempat sebelum ini.
"Lokasinya kekal," kata beliau.
