Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kedah mahu kaji semula kadar pajakan P Pinang
Diterbitkan:  Nov 19, 2013 11:53 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri bercadang untuk mengkaji semula kadar pajakan RM10,000 yang dikenakan ke atas kerajaan Pulau Pinang.

Mukhriz sdalam laporan Berita Harian menyebut, kadar berkenaan adalah berdasarkan kadar 10,000 Spanish Crown, yang ditukar kepada RM10,000 selepas kemerdekaan 1957.

Jumlah itu pastinya lebih besar jika dinilaikan pada kadar semasa, kata Mukhriz yang mahu perkara itu dibincangkan dan diberi pertimbangan oleh kerajaan persekutuan.

“Bagi saya jumlah dibayar Pulau Pinang ketika ini perlu dikaji semula mengikut penilaian semasa kerana RM10,000 terlalu kecil, kita tak pasti, namun selepas merdeka, jumlah itu tak berubah, jadi perlu dikaji semula.

“Saya harap kita boleh bincang hal ini kerana ia pajakan yang besar membabitkan sebuah pulau dan tanah yang besar,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Pajakan itu merujuk kepada bayaran yang dibayar oleh kerajaan negeri Pulau Pinang kepada kerajaan Kedah, susulan perjanjian antara British dan Sultan Kedah pada awal kurun ke-18.

Menurut Mukhriz, kerajaan negeri juga bercadang untuk mengenakan bayaran kepada Pulau Pinang bagi air yang dibekalkan dari kawasan tadahannya.

“Bagi kes air dengan Pulau Pinang ini, walaupun potensinya ada, ia belum diputuskan dan belum jelas sama ada akan diperoleh atau tidak.

“Kita berkorban untuk mengekalkan kawasan tadahan bagi menjamin puinca air tidak terjejas. Jadi bagi kami tuntutan dibuat kerajaan Kedah adalah wajar,” katanya lagi.

ADS