Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Muktamar Dewan Ulama PAS hari ini menerima usul yang mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pusat PAS bagi mewujudkan jawatankuasa khusus bagi mengkaji dan menyemak kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat.

Usul itu antara satu daripada lapan resolusi persidangan Multaqa (pertemuan) Ulama Semalaysia di Kedah pada 14 September lalu yang dihadiri jawatankuasa kerja dewan ulama peringkat pusat, negeri dan kawasan.

Usul bersama Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang itu dibentang perwakilan Wilayah Persekutuan Abdul Hadi Abdul Halim dan diterima sebulat suara oleh 521 perwakilan daripada 137 kawasan seluruh negara.

"Saya berharap tahaluf siyasi (kerjasama politik) bukan menjadi satu pakatan atau singkatan yang datang dan pergi begitu sahaja. Tetapi diangkat dan dilaksanakan atau diteruskan untuk diperkukuhkan.

"(Kami) mencadangkan kepada kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pusat PAS mewujudkan jawatankuasa khusus bagi mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan tahaluf siyasi dalam Pakatan sepanjang ia berlangsung dari sudut kerosakan dan kebaikan syar'iyah dengan niat dan tujuan penambahbaikan dan pengukuhan Pakatan untuk lonjakan PRU-14," kata Abdul Hadi

Muktamar sayap PAS itu juga sebulat suara mencadangkan Jawatankuasa Pusat PAS menegaskan pendirian bahawa cukai barangan dan jualan (GST) adalah bercanggah dengan prinsip percukaian Islam dan perlu ditolak.

Pemikiran merosakkan Islam liberal

Kertas usul yang diedarkan kepada media juga menyebut, konsep percukaian Islam mensyaratkan antaranya kekurangan kewangan negara berlaku bukan kerana ketirisan dan pembaziran dalam pengurusan kewangan negara.

Konsep itu turut mensyaratkan bahawa cukai tidak dikenakan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaya atau miskin.

"Muktamar Dewan Ulama juga mengusulkan PAS pusat menegaskan pendirian ini dan mendesak kerajaan Malaysia menarik balik keputusan untuk melaksanakannya pada pertengahan 2015," usul itu dipetik.

Bagi membanteras penularan pemikiran Islam liberal dalam PAS, Dewan Ulama Perak mengusulkan supaya PAS berdepan dengan tegas terhadap NGO yang didakwa membawa dakyah Islam liberal dan pluralisme termasuk Islamic Renaissance Front (IRF).

"Kita wajib memboikot aktiviti-aktiviti IRF dan segala pemikiran hadamah (merosakkan) yang ditaja IRF.

"Pemimpin-pemimpin PAS yang terpalit dengan segala aktiviti-aktiviti Islam liberal dan pluralisme hendaknya menafikan penglibatannya secara telus dan terbuka.

"Malah kita menghendaki pemimpin-pemimpin terbabit menarik balik sokongan kepada Islam liberalisme pluralisme terutama yang didokong IRF dengan segera sebelum Umno dan BN menjadikannya sebagai alasan dan senjata untuk menghentam PAS dan kepimpinannya," usul itu dipetik.

ADS