407 terima anugerah kebesaran Johor

Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengetuai senarai 407 penerima anugerah darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun ke-55 Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI).

Sementara itu Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor Tunku Mahmood Tunku Mohammad pula dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DK II) dan Tunku Omar Tunku Mohammad pula dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ).

Dalam istiadat penganugerahan yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, di Muar hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Pada istiadat penganugerahan yang diadakan dengan penuh adat istiadat Kesultanan Johor itu, sembilan orang menerima Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (SMJ).

Mereka ialah Pegawai Daerah Kota Tinggi Mohd Noorazam Osman; Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Johor Azmi Rohani; DSP R.Sugumaran; Pengawai Pengiring Sultan Johor Kol Normin Mohd Shahar; dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Johor Mokhtar Abdul Majid.

Turut dikurniakan darjah yang sama ialah Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohd Khairi Yakub; Pengarah Perhutanan Johor Yahaya Mohamood; Pengarah Mineral dan Geosains Malaysia, Johor Baharu Shahar Effendi Abdullah Azizi dan Penolong Pengarah Kastam Johor Basirun Songip.

Sejumlah 22 orang, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil, menerima Pingat Kerana Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP).

Pada istiadat kali ini, enam orang anggota Askar Timbalan Setia Johor turut dikurniakan Pingat Kerana Jasa dan Lama Dalam Pekerjaan (PJP), 295 orang menerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II), manakala 70 orang Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (PIS III).

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.