Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usul desak laksana undang-undang jenayah Islam lulus

Muktamar PAS terima usul mendesak kerajaan meminda perlembagaan negara untuk membolehkan pelaksanaan undang-undang Jenayah Islam selepas usul itu disokong dan dibahas oleh perwakilan dalam persidangan tahunan parti itu petang ini.

Dalam usul yang diedarkan kepada media, ia dikemukakan selepas menyedari pelbagai cara dibuat oleh kerajaan dalam membendung jenayah berat semakin gagal sekalipun modul penguatkuasaan undang-undang turut menekan aspek agama, nilai murni dan moral bagi mewujudkan kawalan sosial.

Usul bersama PAS Kuala Krau, Pahang  dan Dewan Muslimat PAS Pusat itu dibaca oleh perwakilan kawasan Kuala Krau, Shahril Azman berbunyi:

"Menyedari bahawa hanya Islam melalui pelaksanaan syariatnya secara menyeluruh sahaja membendung gejala ini.

"Maka PAS Kuala Krau bersama Dewan Muslimat antara lain mendesak kerajaan mengusulkan dalam muktamar ini mendesak kerajaan Malaysia menggubal serta meminda Perlembagaan Negara bagi membolehkan Undang-undang Jenayah Islam menjadi sebagian daripada undang-undang Negara serta tidak menyekat pelaksanaan undang-undang jenayah Islam di negeri-negeri yang ingin melaksanakannya".

Usul itu diterima sebulat surat selepas lebih 1,000 perwakilan yang bangun dan melaungkan takbir selepas perwakilan Dewan Muslimat dan perwakilan Klang, Mohd Prasadh Hanif  membahas berhubung usul tersebut.

Membahaskan usul itu, perwakilan Jerlun, Abdul Ghani Ahmad turut mendesak Majlis Syura Ulama atau kepimpinan PAS pusat mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib untuk menyatakan hasrat dari "hati ke hati" mengenai apa diputuskan dalam muktamar PAS hari ini.

"Apa sahaja yang diucapkan dan dipersetujui beliau (PM) akan dijadikan undang-undang. Sebelum ini pemansuhan ISA, Ordinan Darurat dan yang terbaru GST dan akhirnya menjadi undang-undang.

"Oleh itu kepimpinan PAS atau Majlis Syura Ulama berjumpa (dengan PM) dari hari ke hati untuk menyatakan maksud hasrat (kita)," katanya.

ADS