Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu perlu menggunakan pendekatan lebih progresif agar lebih relevan demi memikat hati golongan muda, dan bukannya menggunakan slogan retorik semata-mata.

Katanya, slogan 'Hidup Melayu' tidak akan relevan jika taraf pendidikan dan ekonomi kaum Melayu masih di takuk lama.

"Kita dakap pendekatan progresif ini kerana sekadar melaungkan “Hidup Melayu” itu lompong jika nasib anak bangsa masih di takuk lama.  

"Walau ada antara kita yang berasa cukup hanya dengan bersorak 'Hidup Melayu', kita jangan ambil pendekatan yang serupa. 'Hidup Melayu' itu sudah ketentuan – tapi soalnya kita mahu Melayu hidup bagaimana? 

"Sudah tentu lebih mulia bila Melayu hidup bermartabat dari hidup merempat.  Sudah tentu lebih penting hasil dan keberkesanan program kita dari melaungkan slogan semata-mata," katanya.

Berucap ketika beliau ketika menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan agung sayap tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, Pemuda Umno hari ini juga perlu mengambil pendekatan sederhana dan menyeluruh yang meliputi setiap lapisan masyarakat, dan bukannya menjadi "kumpulan pendesak radikal" seperti masa lalu.

"Bukan niat kita memperkecilkan pendekatan lama – di mana Pemuda dilihat sebagai kumpulan pendesak kerajaan pascamerdeka.

"Pendekatan sebegitu sesuai dengan keperluan semasa – dan ternyata telah membawa kejayaan kepada Pemuda, di era tersebut.

"Penjenamaan baru ini tidak bermakna kita menggadaikan prinsip.  Sepertimana saya sebut beberapa tahun dahulu, kita perlu berani mengubah manhaj atau pendekatan, tanpa meninggalkan maqasid yakni matlamat sesebuah perjuangan," kata beliau.

Akademi Kepimpinan Kapten Hussein

Khairy menyatakan pelbagai program peringkat akar umbi akan dilaksanakan di setiap peringkat.

Malah sistem pengkaderan turut diperkenalkan bagi tujuan latihan dan merekrut golongan ilmuwan, agamawan dan professional muda bagi menambah kuat perjuangan parti.

Beliau mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (AKHI) yang bakal menjadi pusat latihan dan pengkaderan bagi sayap itu dalam agenda peningkatan modal insan.

"Saya telah melantik dua individu profesional dalam umur 20-an dari luar struktur tradisi parti, dan buat pertama kalinya, wakil dari mahasiswa tempatan diberikan ruang untuk berucap di perhimpunan kita.

"Biro-biro juga telah disyaratkan melantik sekurang-kurangnya seorang profesional muda berumur 20-an dan seorang mahasiswa, di mana kaedah ini insya-Allah, akan memudahkan proses peremajaan parti melalui pembabitan muka-muka baru," kata beliau.

ADS